Tuesday, February 16, 2016
IS Dedah Video Militan Warga Malaysia Selepas Ditembak
PETALING JAYA : Kumpulan militan IS mendedahkan sebuah video yang
merakamkan detik akhir seorang pemilik kedai buku warga Malaysia yang
menjadi pakar membuat bom di selatan Filipina.
Video tersebut yang berdurasi tujuh minit dan 40 saat mengesahkan
laporan bahawa Mohd Najib Hussein terbunuh pada 16 Disember lalu.
Dia dilaporkan terbunuh bersama 13 anggota Abu Sayyaf dalam pertempuran dengan tentera Filipina di Kepulauan Basilan.
Graduan kejuruteraan elektrik berusia 37 tahun itu yang menguruskan
sebuah kedai buku di Universiti Malaya lebih dikenali sebagai Abu Anas
al Muhajir.
Di selatan Filipina, dia dikenal pasti sebagai salah seorang pemimpin
utama dalam sayap Bendera Hitam yang ada kaitan dengan kumpulan Abu
Sayyaf.
Video tersebut yang didedahkan saluran media IS dalam bahasa Rusia, Al Furat Media, cuba menggambarkan dia sebagai mati syahid.
Upacara tersebut dimulakan dengan kumpulan militan Asia Tenggara membawa
bendera IS masuk ke dalam kawasan hutan dan membaca sumpah kesetiaan
kepada kumpulan pengganas tersebut.
Malah, jurucakap video tersebut menggunakan istilah 'belia Indonesia' yang difahamkan merujuk kepada Mohd Najib.
Jurucakap itu turut menerangkan bahawa Mohd Najib pergi ke Filipina dan
menubuhkan sebuah kumpulan militan yang mengangkat sumpah kesetiaan
kepada IS.
Dalam salah satu babak, Mohd Najib yang mengalami kecederaan dipapah rakannya.
Kamera tersebut memfokuskan ke wajahnya dan seorang lelaki lain dilihat menyentuh mukanya dengan tangan yang berlumuran darah.
Menurut sumber perisikan, Mohd Najib, bapa kepada lima orang anak
meninggal dunia beberapa jam kemudian selepas terkena tembakan.
Mohd Najib merupakan pemimpin utama dalam sayap Bendera Hitam IS yang
dipimpin seorang profesor dari universiti di Malaysia, Dr Mahmud Ahmad
atau Abu Handzalah yang bersembunyi dengan Abu Sayyaf di selatan
Filipina.
Menurut tentera, pertempuran tersebut melibatkan 150 anggota Abu Sayyaf tetapi angka sebenar kematian tidak dapat disahkan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment