Tuesday, February 16, 2016
'Kerja Gila' Naik Motor Kapcai Dari Alor Setar Ke China...
"Ada rakan berpendapat konvoi ini 'kerja gila' kerana perlu menempuh pelbagai cabaran untuk sampai ke sana.
"Apatah lagi dengan menunggang motosikal 'kapcai' dan wang perbelanjaan
hanya RM1,500 membuatkan mereka beranggapan begitu. Alhamdulillah, kami
berjaya menjejakkan kaki ke sempadan negara itu tanpa ada perkara buruk
berlaku.”
Itu kata Aidil Ezrul Ismail, 33, yang gambar konvoinya bersama lima
rakan lain menunggang motosikal jenis Honda EX5 ke sempadan China
menjadi ‘viral’ di laman Facebook (FB), baru-baru ini.
Aidil Ezrul bersama lima rakannya, Muhd Afif Bakhtiar, 24, serta isteri,
Norhafizah Asmal, 23, Zulkefly Hashim, 27, Muhd Arham Jaafar, 26 dan
Asmawy Awang, 28, memulakan perjalanan ke sempadan China di Laos dalam
tempoh 10 hari.
Mereka memulakan perjalanan dari Alor Setar, Kedah pada 5 Februari lalu ke Bukit Kayu Hitam sebelum ke Mae Hong Son, Thailand.
Menurut Aidil Ezrul yang juga ketua konvoi itu, pada awalnya, perjalanan
berjalan lancar dan tiada masalah besar dihadapi kecuali menukar minyak
hitam dan masalah tayar bocor.
"Cabaran bermula pada hari keempat apabila kami terpaksa melalui laluan
agak bahaya di Mae Hong Son, Thailand dengan suhu bawah 10 darjah
celcius.
"Dari Thailand ke Laos banyak jalan sempit dengan tebing curam dan jika
tidak berhati-hati pasti akan membawa masalah di tambah dengan cuaca
yang sangat sejuk iaitu kira-kira 8 darjah celcius.
"Biarpun memakai pakaian tebal tetapi masih terasa sampai ke tulang
menyebabkan kami sukar untuk meneruskan perjalanan," katanya.
Aidil Ezrul yang juga pengusaha katering berkata, dia dan rakan konvoi
lain juga terpaksa berlapar ketika melalui perjalanan yang mencabar itu
kerana tiada kedai menjual makanan di sepanjang jalan berkenaan.
"Ia adalah situasi yang sangat mencabar mental dan fizikal kami. Syukur,
berkat kesabaran, ketabahan dan semangat kerjasama antara rakan konvoi
melancarkan perjalanan.
"Kami juga hanya membawa wang perbelanjaan masing-masing RM1,500
termasuk kos tempat menginap. Tak dapat nak bayangkan jika ada perkara
buruk berlaku," katanya yang juga bapa dua anak berusia 12 dan sembilan
tahun.
Katanya, dia dan rakannya merancang perjalanan berkenaan sejak Disember
tahun lalu dan ia hasil idea ahli kelab bengkel membaiki motosikal
dikenali sebagai Afif Motor di Alor Setar yang pada awalnya mahu menguji
ketahanan motosikal di bengkel berkenaan.
"Pada awalnya, ia mendapat tentangan rakan lain yang berpendapat konvoi
ini sebagai 'kerja gila'. Tapi, dengan sokongan keluarga rakan konvoi
masing-masing, kami dapat buktikan jika orang lain boleh buat, kami juga
mampu lakukannya.
"Ini adalah kali pertama saya berkonvoi sehingga ke sempadan China
bersama rakan dengan menunggang motosikal. Insya-Allah kami merancang
untuk ke destinasi lain termasuk Kemboja dan sempadan Vietnam pada masa
datang," katanya.
Berbekalkan semangat jitu, mereka menamatkan siri jelajah sejauh 6,000 kilometer.
Muhammad Afif berkata, mereka gembira kerana dapat menamatkan siri
jelajah itu tanpa sebarang perkara yang tidak diingini namun sebaliknya
memperoleh pelbagai kenangan yang cukup bermakna.
"Dari Alor Setar kami memasuki Thailand, Laos dan terus ke Boten yang
menjadi sempadan antara Laos dan China dan sepanjang perjalanan kami
tidak mengalami masalah besar cuma terpaksa berdepan dengan suhu yang
mencecah sehingga tujuh darjah Celcius semasa di China selain berasa
letih kerana terpaksa menunggang motosikal begitu lama namun ia tidak
melunturkan semangat kami.
"Kami juga perlu menyesuaikan diri dengan pertuturan rakyat di negara
Laos dan China selain berdepan kesukaran mencari makanan yang halal.
Kami bernasib baik kerana terdapat beberapa restoran muslim yang menjual
makanan halal," katanya.
"Persediaan kami buat sedikit sahaja kerana apa yang paling penting
ialah keadaan motosikal, namun ia tidak mendatangkan kebimbangan kepada
kami kerana ada di antara kami yang bekerja sebagai mekanik motosikal
jadi kami tahu tahap kemampuan motosikal masing-masing.
Tambahnya, dia dan rakan-rakan yang lain merancang untuk mengadakan siri
jelajah ke Vietnam tahun depan selepas menamatkan siri jelajah di
Kemboja pada tahun lepas.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment