Tuesday, February 09, 2016
Kes Bafia: Rafizi Terdesak, Takut Pindaan OSA - Azalina
KUALA LUMPUR : Tindakan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengkritik
cadangan pindaan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 menunjukkan beliau kini
terdesak dan takut berhubung kesnya berkaitan Akta Bank dan
Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) 1989 yang masih belum selesai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said
berkata, Rafizi sengaja cuba mengalihkan kesnya itu kepada dakwaan
kononnya pindaan akta itu bertujuan untuk menindas wartawan dan
kebebasan media di negara ini.
"Beliau juga dengan sengaja menyatakan bahawa pindaan ini adalah
penindasan kepada wartawan dan kebebasan media supaya beliau mendapat
sokongan daripada pihak media berhubung dengan perkara ini," katanya
dalam satu kenyataan di sini, Isnin.
Beliau berkata, anggota Parlimen Pandan itu tidak mempunyai sebarang
imuniti atau keistimewaan dalam konteks undang-undang apatah lagi kes
yang melibatkan beliau di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi
Kewangan (Bafia) 1989 masih belum selesai.
Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebelum ini dilaporkan
berkata, beliau sedang menimbang untuk meminda OSA bagi mengenakan
hukuman lebih berat ke atas mereka yang terlibat membocorkan rahsia
negara dan mereka yang melaporkan berita tentang rahsia itu.
Rafizi dilaporkan memulakan kempen di media sosial bagi mendapatkan
seberapa banyak sokongan bagi menolak cadangan pindaan akta itu.
Azalina berkata, tindakan Rafizi mendapatkan pelbagai maklumat peribadi,
khususnya daripada institusi kewangan, adalah melanggar undang-undang.
"Ketika perbahasan di Parlimen, beliau juga menyatakan bahawa beliau
mendapat maklumat yang bocor berhubung pembelian aset kerajaan. Keadaan
ini jelas bahawa beliau sendiri telah mengakui secara tidak langsung dan
adalah wajar untuk disiasat dan diambil tindakan dengan kadar segera,"
katanya.
Azalina berkata, kes Bafia yang melibatkan Rafizi telah berlarutan
hampir empat tahun dan sepatutnya perlu diputuskan segera kerana menjadi
penanda aras kepada sektor kewangan negara.
"Isu ini bukan hanya melibatkan kepentingan individu tetapi boleh
mengugat ekonomi dan keselamatan negara. Sekiranya kes tersebut masih
ditangguh pihak luar akan beranggapan undang-undang melibatkan perbankan
negara adalah longgar.
"Sejak kebelakangan ini terlalu banyak kebocoran maklumat berlaku
sehinggakan mengancam keselamatan negara. Pendedahan kepada umum bukan
satu tindakan yang baik sebaliknya mereka yang mempunyai maklumat perlu
membawa isu tersebut kepada pihak berwajib untuk tindakan lanjut,"
katanya.
Sementara itu, Azalina berkata, cadangan Peguam Negara untuk menyemak semula OSA 1972 adalah amat tepat bagi Malaysia.
Beliau berkata, Mohamed Apandi amat bimbang dengan masalah kebocoran
maklumat kerana terdapat banyak kebocoran maklumat terutama maklumat
rahsia kerajaan.
"Anda tidak lihat ini berlaku di negara-negara lain, tetapi anda dapat
lihat banyak kejadian pecah amanah (membocorkan maklumat) di Malaysia.
Tiada kebebasan mutlak, malah di Amerika, bagi media atau sesiapa
sahaja," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah terbuka Tahun
Baharu Cina anjuran MCA di sini, Isnin.
Azalina berkata, perlu ada perbezaan antara komen adil, kebebasan bersuara dan pecah amanah.
"Bagaimana kami nak mentadbir jika terdapat banyak pecah amanah oleh
pegawai kerajaan atau pihak ketiga, isu yang kami akan kaji hanya
melibatkan hukuman seumur hidup dan berat kesalahan," katanya lagi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment