
Friday, February 12, 2016
Lagu Nyanyian Adenan Satem Raih Hampir RM1.4 Juta

SIBU : Tiga buah lagu yang didendangkan Ketua Menteri, Tan
Sri Dr Adenan Satem meraih sumbangan hampir RM1.4 juta di sini malam
tadi.
Sambil diiringi band D’Cipta dari Kementerian Pembangunan Sosial
dan Urbanisasi Sarawak, beliau mengalunkan lagu malar segar Can’t Help
Falling in Love (Elvis Presley), The Young Ones and Travelling Light
(Cliff Richard) dan Putus Sudah Kasih Sayang (P. Ramlee).
Nyanyian beliau berjaya meraih sumbangan lebih daripada 20 orang
penderma daripada pihak swasta, badan bukan kerajaan, individu
perseorangan serta tetamu yang menghadiri majlis perhimpunan Tahun Baru
Cina anjuran Persatuan Cina Bersatu (UCA).
Sumbangan itu akan digunakan untuk membantu pesakit buah pinggang dan diabetes.
Terdahulu dalam ucapannya, Adenan, 72, berkata beliau memerlukan masa lima tahun lagi untuk menerajui Sarawak sebelum bersara.
“Faktor umur dan kesihatan tidak membenarkan saya untuk menerajui lebih daripada tempoh itu,” kata Adenan.
Namun sebelum bersara, beliau mahu rakyat memberinya mandat penuh
untuk lima tahun lagi selaku ketua menteri untuk membolehkan beliau
meneruskan tugas kepada rakyat dan negeri.
Beliau berkata dalam tempoh dua tahun selepas menjadi ketua menteri
mulai 28 Feb tahun lalu, beliau telah melaksana 50 polisi kepada negeri
dan akan melakukan lebih banyak lagi jika diberi peluang.
Adenan berkata kekayaan sebenar yang Sarawak miliki ialah perpaduan
dan kepelbagaian di mana rakyatnya hidup bersama dan menghormati antara
satu sama lain.
Turut hadir pada majlis itu isteri beliau Puan Sri Jamilah Anu,
Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad
Kurdi, Konsul Republik Rakyat Cina di Kuching, Fu Ji Jun serta Menteri
Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Negeri, Datuk Seri Wong
Soon Koh.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment