
Sunday, February 14, 2016
Najib Ikrar Terus Berusaha Bina Malaysia Lebih Cemerlang
LOS ANGELES : Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar sebagai
perdana menteri, beliau akan terus berusaha membina Malaysia lebih
cemerlang.
Pentadbirannya, kata Najib, sedang mengambil pelbagai langkah bagi
meringankan beban rakyat ke arah satu cara yang cukup bermakna dalam
mengukuhkan masa hadapan mereka.
Malaysia sedang berusaha ke arah ekonomi yang lebih berdaya tahan
demi faedah rakyatnya, kata beliau pada perjumpaan dengan kira-kira 300
dispora Malaysia termasuk golongan pelajar di kediaman rasmi
Konsul-Besar Malaysia Raja Saifful Ridzuwan Raja Kamaruddin di sini
pada Sabtu (Ahad di Malaysia).

“Kita mahu rakyat dari Perlis hingga ke Sabah merasakan Malaysia
sebagai tempat yang hebat untuk didiami,” kata Najib yang melakukan
lawatan kerja seminggu ke negara ini.
Beliau menjelaskan kepada rakyat Malaysia yang tinggal di bahagian
Amerika Syarikat di sini bahawa kadang kala kerajaan terpaksa mengambil
tindakan tegas demi faedah negara dan masa hadapannya.
Menyebut sebagai contoh pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan
(GST), Najib berkata tindakan tegas oleh pentadbirannya itu banyak
mengimbangi impak cabaran ekonomi semasa akibat kelembapan pertumbuhan
ekonomi dunia dan kemerosotan harga minyak dan komoditi.
“GST adalah perlu ketika negara mengalami kekurangan hasil RM40 bilion tahun ini berikutan cabaran ekonomi global.
“Bayangkan tanpa (hasil dari) GST, betapa besar impak (cabaran
ekonomi global) ke atas ekonomi negara dan kebajikan rakyat,” kata
Najib.
Menjelaskan lebih lanjut tentang isu itu, beliau berkata ini (GST)
adalah seperti mengambil ubat, sedikit pahit tetapi menjadikan lebih
cergas kemudiannya.
Menarik perhatian terhadap semakan Bajet 2016 baru-baru ini, Najib
berkata langkah itu bertujuan menghasilkan pertumbuhan ekonomi mampan
ketika berlaku cabaran ekonomi global semasa.
Beliau menyebut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi pujian
dalam kajiannya mengenai prestasi ekonomi Malaysia dalam tempoh yang
mencabar ini.
“IMF berkata ekonomi Malaysia mencapai prestasi baik sekalipun
berlaku cabaran itu. Ia memuji perbelanjaan bijak di Malaysia,” kata
Najib.
Bloomberg, kata beliau, meletakkan Malaysia sebagai pasaran keenam paling memberi harapan. Beliau mengingatkan rakyat Malaysia agar waspada terhadap mereka yang hendak merosakkan negara dan menggugat kestabilannya.
“Ini (tindakan tidak bertanggungjawab) tidak mengutamakan negara,” kata beliau.
Najib juga menggesa mereka yang bekerja di negara ini membawa pulang
kemahiran inovasi dan daya kreatif mereka demi manfaat Malaysia.
Turut hadir isteri Najib Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar Datuk
Seri Anifah Aman dan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Dr
Awang Adek Hussin.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment