Sunday, February 14, 2016
UMNO 70 Tahun : Pemuda Pulau Pinang Tekad Suburkan Perjuangan Anak Muda
TASEK GELUGOR : Pada 11 Mei 2016 UMNO bakal berusia 70 tahun
maka sudah pasti mesyuarat cawangan yang bermula 15 Mac ini bakal lebih
bermakna bagi memastikan UMNO terus utuh di hati rakyat seterusnya
menjadi tulang belakang kepada Barisan Nasional (BN) yang menjadi
peneraju negara.
Bagi negeri Pulau Pinang di mana UMNO menjadi pembangkang setelah
tewas kepada Dap pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, sudah pasti cabaran
untuk mengembalikan parti keramat ini di hati rakyat lebih getir tetapi
ia bukan satu halangan bagi mendekati pengundi terutamanya golongan
muda.
Bagi
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pulau Pinang, Nashrol Hisham Abdullah,
pelbagai program dan pendekatan diatur demi memastikan UMNO terus mesra
bersama golongan muda.
Jelasnya pada usia 70 tahun, ada pihak-pihak yang tidak
bertanggungjawab cuba untuk menggambarkan bahawa UMNO tidak memahami
jiwa golongan muda.
Oleh itu tambah beliau pelbagai fitnah dan cubaan dilakukan bagi memesongkan pandangan anak muda terhadap UMNO.
“Kami di Pulau Pinang sentiasa berusaha untuk memastikan UMNO terus
dapat mempertahankan sekaligus menambah bilangan kerusi pada PRU akan
datang.
“Memang sukar tetapi inilah cabaran kepada Pergerakan Pemuda sebagai
sayap parti keramat UMNO. Saya juga berharap agar ahli UMNO khususnya
golongan muda akan hadir beramai-ramai pada mesyuarat cawangan yang
bakal bermula 15 Mac ini.
“Berilah idea-idea yang bernas agar kita sama-sama dapat membantu
parti. Jangan pula kita menjadi dalang untuk melemahkan parti kerana
bila kita bercakaran maka yang untung adalah parti lawan,” ujarnya
kepada media.
Tambah Nashrol yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tasek
Gelugor, sekarang ini sudah wujud gerakan-gerakan untuk ‘membeli’ ahli
UMNO bagi tujuan merosakkan mesyuarat cawangan.
“Sebagai ahli UMNO, kita harus terus setia kepada parti dan jika ada
pandangan yang berbeza, ianya diselesaikan secara kekeluargaan”,
katanya.
Apa yang penting jelas beliau lagi, semua pihak harus mengenepikan
masalah dalaman dan meletakkan perjuangan parti di hadapan demi
kemenangan pada PRU-14 nanti.
“Perlu di ingat, sebagai golongan muda sudah pasti darah muda itu
sentiasa bergelodak. Bila ada golongan yang tidak bertanggungjawab cuba
menaikkan darah muda untuk memberontak maka kita perlu berfikir secara
positif dan jangan cepat melatah.
“Jangan sesekali kita terikut dengan tipu muslihat pembangkang. Kita
perlu lihat kembali pentadbiran Dap sepanjang menjadi kerajaan negeri…
tidak ada apa yang hendak dibanggakan. Janji manifesto mereka juga
hingga kini tidak tertunai.
“Oleh itu kita perlu berus berusaha menyakinkan rakyat khususnya di
negeri ini bahawa hanya BN yang sentiasa berpegang pada janji dan
mendengar suara nadi rakyat,” katanya lagi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment