Monday, February 15, 2016

Pendedahan Terbaru Pemimpin PAS Tak Gugat PAN

SHAH ALAM : Parti Amanah Negara (PAN) tidak goyang dengan dakwaan ahli-ahlinya mula kembali menyokong PAS, meskipun kini semakin ramai pemimpin parti Islam itu tampil membuat pendedahan.

Naib Presiden PAN, Salahuddin Ayub sekali lagi memberitahu partinya tidak kisah dengan perkembangan itu.

Tegasnya dalam mana-mana perjuangan sekalipun perlu ada keyakinan dan keikhlasan hati.

"Saya tak kisah siapa hendak keluar daripada PAN, maka keluarlah.

"Saya tak kisah, berjuang bukan boleh berlakon hendak paksa. Tak boleh suruh wala', berjuang kena dengan kerelaan hati. Jika mereka tidak yakin dengan PAN, keluarlah. Tidak sampai kafir," katanya ketika dihubungi media, hari ini.

Salahuddin mengulas kenyataan terbaru daripada beberapa pemimpin PAS bahawa parti itu mempunyai bukti dan fakta berkenaan sokongan ahli-ahli PAN terhadap PAS.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan pendedahan Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan baru-baru ini selain memberitahu kumpulan tersebut datangnya daripada PAN Kelantan.

Bukan itu sahaja Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad juga berkata 'kesilapan' yang pernah dilakukan ahli-ahli PAS yang menyokong PAN tidak perlu diperbesarkan.

Sebelum ini PAN, melalui Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad berkata menjadi hak ahli memilh parti yang ingin disertainya dan menghormati apa sahaja keputusan ahli-ahlinya.

Beliau bagaimanapun mengharapkan pemimpin PAS mengamalkan keterbukaan dalam hal itu, dan tidak 'mengikat' ahli-ahlinya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment