
Sunday, February 14, 2016
Perubahan Pucuk Pimpinan Negeri Tidak Jejas Pelaburan Di Kedah – Exco

JITRA : Perubahan pucuk pimpinan di Kedah tidak
akan menjejaskan minat dan keyakinan pelabur asing di negeri ini, kata
Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Perdagangan Dalam Negeri Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail.
Beliau berkata pemilihan Kedah sebagai destinasi pelaburan
bukan disebabkan oleh individu tertentu, sebaliknya berdasarkan
faktor-faktor kebolehupayaan sesebuah negeri menawarkan keselesaan kepada para pelabur.
“Saya penuh yakin sungguhpun ada perubahan pucuk pimpinan Kedah tidak
akan jejaskan jumlah pelaburan, disebabkan oleh faktor kestabilan
politik, konsistensi dasar, tenaga kerja mahir, kemahiran komunikasi dan
kemudahan infrastruktur,” katanya selepas mengadakan pertemuan
dengan wakil firma Jepun, Asia Private Partnership di sini hari ini.
Keyakinan beliau turut dibuktikan apabila menurutnya ada pelabur
sedia ada di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) mahu mengadakan
mesyuarat dengan beliau dan Kedah Invest serta Lembaga Pembangunan
Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi membincangkan kemungkinan untuk menambah
jumlah pelaburan di negeri ini.
“Mereka (pelabur) terima hakikat perubahan (pucuk pimpinan) tapi kita
masih kekal dengan cara dan perancangan kita untuk beri keselesaan
kepada pelabur dan supaya pelabur dijamin kehadiran mereka untuk
mendapat pulangan yang baik,” katanya
Selain Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), lima lagi projek
pemangkin yang dirancang bagi merancakkan lagi landskap pembangunan
ekonomi negeri ialah Bandaraya Aero Kedah (KedahAerocity), Lebuh raya
Sungai Petani-Kedah Inner Expressway (SPIKE) dan BandarRaya Sains
Perubatan Kedah dan Taman Sains dan Teknologi Kedah.
Ia dibentangkan dalam Bajet 2015 Kedah.
Projek-projek tersebut katanya, kebanyakannya dicetus melalui
Makmal Transformasi Kedah yang terdiri daripada ahli akademik,
pertubuhan bukan kerajaan (NGO), profesional, wakil kerajaan negeri dan Pusat, ahli
politik, serta dewan perniagaan yang dipandu oleh Unit Perancang Ekonomi
Negeri (UPEN).
“Jadi ia bukanlah hasil idea individu tapi berpasukan. Daripada
makmal itu salah satu benda kita kenal pasti ialah KXP yang boleh memacu
pembangunan kawasan Kuala Muda, Kulim, dan boleh bantu KHTP untuk
eksport hasil produk melalui udara,” katanya.
Jelasnya, kerajaan negeri masih menunggu kajian daya maju oleh
konsultan dilantik Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi mengetahui
keperluan KXP tersebut.
Beberapa projek katanya, tetap berjalan antaranya Bandaraya Getah
yang menerima peruntukan RM320 juta dalam Bajet 2016 dan kini dalam status pengambilalihan tanah di Ladang Bukit Ketapang.
Kedah juga bakal menerima satu lagi projek besar melalui pelaburan
Osram iaitu syarikat semikonduktor yang berpangkalan di Jerman sebanyak 1
bilion Euro bagi pembinaan kilang cip LED terbesar dunia dengan
kerja-kerja pembinaan kilang dijangka bermula bulan hadapan.
Pembinaan Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) bernilai RM3
bilion di Kuala Kedah pula dijangka bermula pada suku pertama tahun ini
dengan kerja-kerja awal seperti penyediaan Laporan Kajian Kesan Alam
Sekitar (EIA) dan Laporan Terperinci Kesan Alam Sekitar (DEIA).
Pelabur KIFT ialah Syarikat Lu Hai Feng dari China. Komponen utama
KIFT ialah kompleks penyimpanan sejuk beku dengan suhu sehingga -60
darjah Celcius, Taman Industri Makanan Laut dan pusat lelongan ikan tuna
sama seperti di Pasar Tsukiji yang terkenal di Tokyo, Jepun.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment