
Sunday, February 14, 2016
Belia Malaysia Perlu Ambil Alih Kerja Dalam Industri 3D – Ahmad Zahid

SHAH ALAM : Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu belia
tempatan ambil alih kerja di sektor yang dikategorikan sebagai 3D iaitu
bahaya, kotor dan sukar, bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada
pekerja asing.
Timbalan Perdana Menteri berkata langkah itu perlu kerana tenaga
kerja asing kini menguasai sektor tersebut, yang membabitkan industri
peladangan, perkilangan, pembinaan dan pembersihan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata berikutan
tiadanya belia tempatan yang sanggup bekerja di bidang tersebut telah
menyebabkan pihak industri terpaksa mengambil pekerja asing.
“Inilah masalah kita. Bukan kerajaan tetapi pemain industri yang
ingin membawa masuk pekerja asing ke Malaysia kerana pekerja tempatan
cuma mampu bertahan satu hingga tiga bulan sahaja dalam sektor itu.
“Saya bukan cabar pemain industri, majikan, persatuan berkaitan
tetapi belia-belia untuk bekerja di dalam sektor dinyatakan. Ambil alih
sektor tersebut daripada pekerja asing,” katanya semasa merasmikan
Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Selangor kali ke-32 di sini hari
ini.
Ahmad Zahid menegaskan negara juga memerlukan kepakaran daripada
pekerja mahir dan separa mahir dalam sektor tersebut bagi membangunkan
ekonomi negara.
“Saya percaya majikan, persatuan, pengilang, dan yang berkaitan boleh
mencari pekerja mahir dalam kalangan orang tempatan selain mengambil
pekerja asing,” katanya.
Baru-baru ini, kerajaan dilaporkan merancang untuk membawa masuk 1.5
juta pekerja Bangladesh yang akan dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga
lima tahun.
Turut hadir Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Datuk Seri
Noh Omar dan Pengerusi Majlis Belia Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment