Tuesday, February 16, 2016
Pesawat MH370 Mungkin Tidak Akan Ditemui... Menjadi MISTERI Yang Tidak Dapat Diselesaikan
Martin Dolan, Ketua Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) orang
yang bertanggungjawab menerajui pencarian pesawat MH370 milik Malaysia
Airlines mula merasa tertekan selepas hampir dua tahun usaha itu tidak
membuahkan hasil.
Menurut Martin, beliau sukar untuk tidur kerana khuatir bangkai pesawat
Boeing, B777 terlepas imbasan sonar pada kawasan berkeluasan 120,000
kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.
Kini selepas dua tahun... tinggal hanya beberapa minggu sebelum
pencarian MH370 akan menjadi misteri terbesar penerbangan yang tidak
dapat diselesaikan sejak kehilangan juruterbang, Amilia Earhart pada
1937.
Daripada tiga juta komponen pesawat itu, hanya satu komponen yang
ditemui - flaperon yang diselaputi teritip - di Pulau Reunion, beberapa
ribu kilometer daripada kawasan pencarian. Seramai 239 penumpang pesawat
itu, bagasi, jaket keselamatan yang sepatutnya terapung tidak dapat
dijejaki daripada pencarian tersebut.
"Sentiasa timbul soalan: Adakah kami telah terlepas sesuatu?" kata
Dolan, 58 kepada Bloomberg di pejabatnya di Canberra."Perkara seperti
ini akan menyebabkan anda tersedar daripada tidur,".
Beberapa pakar mencari dan menyelamat berpengalaman menerima hakikat
bahawa pencarian yang menelan belanja sebanyak A$180 juta itu mungkin
menemui kegagalan.
Tanpa petunjuk baharu, pencarian sepatutnya dihentikan pada Jun ini
apabila empat buah kapal selesai mengimbas perairan Australia barat,
kata Dolan.
Bersaiz segitiga Korea Utara, kapal-kapal tersebut telah melakukan
pencarian dengan rapi di kebanyakan kawasan yang dipercayai lokasi
pesawat tersebut jatuh namun menemui kegagalan.
Malah para penyiasat tidak dapat menentukan apa yang sebenarnya berlaku
dalam pesawat itu selepas ia meninggalkan Lapangan Terbang Kuala Lumpur
menuju Beijing pada 8 Mac 2014.
"Terdapat kemungkinan kami tidak berjaya,"kata Dolan.
Selepas kejadian itu, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO)
mahu peawat komersial melaporkan kedudukan mereka setiap 15 minit. Di
bawah cadangan Kesatuan Eropah, pengesan isyarat dalam air pada kotak
hitam perlu berfungsi dalam tempoh 90 hari berbanding 30 hari ketika
ini. Peraturan tersebut akan dilaksanakan sepenuhnya sebelum 2018.
Larry Stone, Ketua Saintis di Metron Inc. di Reston, Virginia, telah
menjejaki kehilangan pesawat dan kapal sejak 50 tahun lalu. Stone
menemui kedudukan pesawat AF447 milik Air France yang membawa 228
penumpang selepas dua tahun ia terhempas di Lautan Altantik.
Lokasi, saiz dan karakter pencarian di dasar laut untuk pesawat MH370
menjadikannya paling sukar beliau pernah lihat. "Saya tidak terperanjat
jika mereka tidak menemuinya," kata Stone.
Kedalaman kawasan pencarian sehingga enam kilometer dengan jurang dan
rabung di dalam air. Pada bulan lalu, kenderaan sonar berlanggar dengan
gunung berapi setinggi 2,200 meter daripada dasar laut, kenderaan itu
tenggelam di dasar laut.
Kapal-kapal yang terlibat dengan percarian itu perlu mengimbas kawasan
seluas 35,000 kilometer persegi - kawasan lebih besar daripada Belgium.
Kapal sonar berdefinisi tinggi milik China merupakan aset pencarian
terbaharu. Dong Hai Jiu 101 akan memberi tumpuan di kawasan dasar laut
yang sukar untuk diimbas dengan sonar konvensional apabila ia tiba pada
bulan ini, kata Dolan.
Kapal tersebut akan memeriksa semula kira-kira 100 kawasan, dengan
beberapa kawasan berbentuk bujur di penghujung selatan lokasi pencarian,
kata Dolan.
Kawasan titik panas ini berkemungkinan besar mengandungi bangkai
pesawat, menurut Kumpulan Sains dan Teknologi Pertahanan Australia,
sebuah agensi kerajaan yang pada kebiasaannya bertanggungjawab terhadap
keselamatan negara.
Namun, pencarian paling komprehensif tidak memuaskan hati keluarga
mangsa jika ia menemui kegagalan. "Kami akan mencuba sedaya upaya untuk
melobi pencarian diteruskan selepas Jun," kata Grace Subathirai Nathan,
28, ibu kepada salah seorang penumpang pesawat itu.
"Saya perlukan jawapan,".
Insiden tersebut didedahkan apabila pengawal trafik udara hilang
hubungan dengan MH370, kurang sejam selepas pesawat itu berlepas ketika
ia menghampiri Vietnam. Radar tentera menunjukkan pesawat berkenaan
membelok ke kiri dan kembali ke Malaysia sebelum menghala ke barat laut
Selat Melaka.
Hubungan radar kemudiannya terputus namun satelit di orbit menerima
isyarat daripada pesawat itu. Analisis menunjukkan pesawat MH370 terbang
menuju ke selatan di Lautan Hindi selama kira-kira enam jam.
"Mereka telah melakukan tugas yang baik untuk mendapatkan sesuatu yang
berguna daripadanya," kata Vaughan Clarkson, pakar radar dan penjejakan
di University of Queensland, Australia yang membantu melakukan
pengiraaan laluan penerbangan pesawat itu. "Anda cuba menjejaki pesawat
yang bergerak laju dengan tempoh masa setiap satu jam,".
Gangguan daripada manusia dalam nahas ini tidak diketahui. Rakaman ayat
terakhir daripada juruterbang pesawat MH370 pada pukul 1.19 pagi 8 Mac
ialah: "Selamat malam Malaysia, Three Seven Zero,". Dalam dunia di mana
telefon pintar berharga AS$100 boleh dijejaki secara percuma, pesawat
bernilai AS250 juta itu hilang begitu sahaja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, pesawat itu tersasar
daripada laluan dan kediaman juruterbang dan pembantu juruterbang
digeledah. Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat turut melakukan
analisis terhadap simulator penerbangan peribadi milik juruterbang
namun tidak menemui apa-apa.
Empat bulan selepas kehilangan MH370, pesawat MH17 ditembak jatuh di
Ukraine. Syarikat pelaburan milik kerajaan Malaysia membeli syarikat
tersebut pada tahun yang sama ketika trafik penumpang dan keuntungannya
merosot.
Kegagalan pencarian akan meninggalkan gambaran yang tidak baik kepada
industri secara am, khusnya kepada Malaysia Airlines, kata Christoph
Mueller, Ketua Pegawai Eksekutif MAB, kepada Bloomberg Television
semalam.
Di Canberra, ATSB sedang menyiasat 130 insiden - daripada insiden
keretapi kargo tergelincir di Queensland hingga kemalangan pesawat di
timur laut Australia.
Dolan berkata, masanya dihabiskan untuk MH370. Beliau yang bersuara
lembut sepanjang masa berhenti sejenak bagi memilih ayat-ayat yang akan
dipertuturkan. Di atas meja di pejabatnya, beliau merujuk kepada peta
zon pencarian yang berada di hadapannya ketika beliau menggariskan
analisis saat-saat akhir pesawat tersebut.
Enjin kanan kehabisan minyak dahulu dan dalam masa 15 minit enjin kiri
kehabisan minyak. Baki bahan bakar mencukupi untuk menghidupkan semula
unit data satelit dan isyarat mesej terakhir. Selepas itu, pesawat
tersebut mungkin membelok ke kiri dan jatuh berpusing ke dalam laut.
Berdasarkan kepada turutan kejadian, mereka yang mencari memberi tumpuan
kepada kawasan antara 20 batu nautika di mana hubungan terakhir
pesawat.
Kemungkinan lain adalah - seseorang yang mengawal pesawat dan
meluncurkan pesawat yang tanpa kuasa itu sehingga ia mendarat di atas
air - bermaksud menggandakan kawasan pencarian sebanyak tiga kali.
Bagaimanapun kebarangkalian senario itu sangat kecil, kata Dolan.
Kapal pengimbas dasar laut telah mengumpul 20 petabit imbasan data. Ia
mencukupi untuk menempatkan seluruh koleksi digital Perpustakaan
Kongress Amerika Syarikat.
Malah selepas mengakui kesukaran pencarian pada kawasan lautan yang
besar, terpencil dan dalam, Dolan berkata, beliau yakin pesawat itu akan
ditemui.
"Setiap pagi, saya bangun dan memeriksa apa yang telah berlaku dan saya berharap hari ini adalah harinya," kata beliau.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment