Monday, February 15, 2016
Saya Akan Bertanding Di Mambong Bukan Serumbu - Datuk Dr Jerip Susil
Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil menafikan
khabar angin bahawa beliau akan bertanding di kerusi baharu Serumbu, dan
bukan Mambong pada pilihan raya umum negeri Sarawak ke-11.
Khabar angin itu dicetuskan oleh sesetengah pihak yang melobi keras
untuk menawan Mambong sebagai sebahagian daripada kerusi mereka.
“Saya ingin menjelaskan bahawa saya akan bertanding di Mambong dan bukan Serumbu,” kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis
penyerahan rumah yang dibina di bawah Program Jiwa Murni Kementerian
Pertahanan, yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri
Hishammuddin Tun Husein di Kampung Sikog di Jalan Puncak Borneo.
Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bengoh itu berkata, beliau dilihat
berada di Mambong dan Serumbu selama ini kerana beliau berkhidmat di
kedua-dua kawasan itu yang terletak di bawah kawasan pilihan raya
Bengoh.
“Itulah sebab mengapa mereka (sesetengah pihak) berpendapat saya akan
bertanding di Serumbu, kerana saya berkhidmat di kedua-dua kawasan
tetapi saya telah menjelaskan bahawa apabila kerusi baharu (Serumbu)
dipertandingkan, maka adalah lebih baik seorang anak tempatan bertanding
di sana,” kata beliau.
Jerip yang juga timbalan presien Parti Rakyat Bersatu (UPP) berkata, ada
ramai pemimpin tempatan di Serumbu yang berdedikasi, berpengalaman dan
berjiwa rakyat.
“Justeru, adalah lebih baik jika Serumbu diwakili oleh seorang pemimpin
tempatan di sana,” kata Jerip yang berasal dari Kampung Karu yang
terletak dalam kawasan Mambong.
Media tempatan melaporkan bahawa Parti Rakyat Sarawak (PRS) sedang
melobi untuk kerusi Mambong, dan presiden parti Tan Sri Dr James Masing
Jemut berkata partinya terbuka kepada tawaran itu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment