Sunday, February 14, 2016
TPM Lantik Haron Din Ketua Kluster Dakwah MPI
KUALA LUMPUR : Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din antara ketua kluster
yang dilantik Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi dalam
Majlis Perundingan Islam (MPI) yang bermesyuarat semalam.
Haron dilantik sebagai ketua kluster dakwah yang akan membawa cadangan
kepada MPI untuk disepakati bersama dan menyelaraskan perbincangan di
masa depan.
Selain Haron, enam lagi dilantik mengetuai kluster-kluster lain. Lantikan-lantikan lain seperti berikut:
Tan Sri Muhamad Ali Hashim (ekonomi)
Tan Sri Prof Dr Kamal Hasan (pendidikan)
Datuk Asyraf Wajdi Dusuki (sosial)
Prof Datuk Sri Zaleha Kamarudin (undang-undang)
Datuk Dr Siddiq Fadzil (pemikiran Islam)
Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (politik)
Menurut Asyraf Wajdi, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri,
anatra resolusi dicapai dalam pertemuan semalam ialah untuk
menghimpunkan 87 anggota-anggota MPI pelbagai latar dan ideologi bawah
tujuh kluster khusus.
Ini, katanya, bagi membolehkan perbincangan lebih tuntas dan telus
dilakukan bagi mencari formula terbaik dan mencadangkan penyelesaian
terhadap pelbagai isu umat Islam di Malaysia.
“Di samping itu TPM setuju bahawa MPI harus meraikan kepelbagaian pemikiran dan menghormati perbezaan,” katanya.
Mufti Perlis Datuk Asri Zainul Abidin, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia
(ISMA) dan bekas pemimpin kanan PAS yang kini memimpin Pergerakan
Kesederhanaan Global (GMM) Nasharuddin Md Isa dikatakan turut hadir
dalam acara itu.
Asyraf Wajdi sebelum ini berkata pertemuan pemimpin-pemimpin politik,
NGO Islam, ulama dan cendekiawan Islam itu bertujuan membincangkan
perkara-perkara melibatkan kepentingan umat Islam.
Menurut Bernama, MPI dianggotai tokoh pelbagai latar belakang meliputi
ahli agama, ahli akademik, tokoh korporat dan pemimpin NGO.
Ia berperanan sebagai kumpulan pemikir bagi membantu kerajaan dalam
memberikan idea dan cadangan ke arah melaksanakan agenda pembangunan
negara menurut landasan syarak.
PAS sebelum ini menyatakan kesediaannya bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan Islam, termasuk Umno.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment