Tuesday, May 26, 2015

Serangan Menggila DAP Simbolik Penolakan Terhadap Kepimpinan Ulama Pas

26 Mei 2015, Kuala Lumpur : Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Zainal Rafique menyifatkan serangan kepimpinan Dap terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Haji Hadi Awang merupakan satu simbolik kepada penolakan mereka terhadap kepimpinan ulama di dalam Pas.

Menurut beliau, kepimpinan Dap merasakan bahawa golongan ulama di dalam kepimpinan Pas hari ini, merupakan penghalang terbesar buat Dap untuk merealisasikan impian politik mereka untuk melihat Malaysia lebih liberal, apatah lagi apabila Pas membuat keputusan untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

“Sebab itu  kita boleh lihat kebelakangan ini begitu banyak kenyataan kepimpinan Dap yang menyerang Haji Hadi cukup-cukup. Macam-macam pemimpin Dap katakan pada Haji Hadi, seorang yang tidak boleh dipercayai, tikam belakang dan lain-lain lagi. Namun dalam masa yang sama,  Dap tidak mahu pula memutuskan hubungan dengan Pas, sebaliknya hanya mahu berseteru dengan Presiden Pas saja.

“Ini kerana Dap merasa yakin bahawa wujudnya golongan di dalam Pas yang juga tidak bersetuju dengan Haji Hadi dan juga mempunyai cita-cita politik serta pemikiran yang sama seperti mereka, contohnya seperti PasMa. Golongan inilah yang diharapkan oleh kepimpinan Dap sebagai pengganti kepada Pas untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku,” tegas beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini
datuk zainal abidin rafique ketua umno bukit bintang
Selain itu, beliau juga berpendapat bahawa kepimpinan Dap juga kecewa dengan sikap Haji Hadi dan kepimpinan ulama Pas yang lain apabila kenyataan mereka akhir-akhir ini terhadap UMNO tidak seperti dulu.

“Saya kira, ini juga merupakan penyebab mengapa Haji Hadi dan kepimpinan ulama Pas diserang bertalu-talu oleh Dap. Mungkin mereka dapat menghidu ada sesuatu yang tidak kena berdasarkan kenyataan Presiden dan juga Mursyidul Am Pas, ada unsur-unsur penyatuan antara dua parti Melayu terbesar ini bakal berlaku.

“Sebab itu kita lihat semalam, Lim Guan Eng menggambarkan bahawa Pas sengaja mencari pasal dengan Dap untuk dijadikan alasan Pas bergabung dengan UMNO. Namun, kenyataan Guan Eng itu bagi saya hanya sekadar satu manipulasi untuk menutup kekecewaan mereka yang jelas tidak mahu melihat orang Melayu di negara ini bersatu demi Islam, bangsa dan tanahair,” tegasnya.

Bagaimanapun, beliau yakin bahawa kepimpinan ulama di dalam Pas sememangnya sudah menyedari perkara ini, di mana Dap tidak akan sesekali menerima keputusan Pas untuk melaksanakan hukum dan undang-undang syariah di negara ini.

“Dulu, Barisan Alternatif yang ditubuh oleh ketiga-tiga parti ini berpecah apabila Dap mengambil keputusan untuk keluar kerana tidak bersetuju dengan prinsip dan pendirian Pas berhubung soal hudud.

“Dan hari ini, kita dapat lihat bahawa sejarah lama itu berulang kembali apabila bibit perpecahan sudah mula ketara di dalam pakatan pembangkang disebabkan isu yang sama. Jadi dalam hal ini, saya harapkan bahawa golongan ulama yang lebih mementingkan soal Islam berbanding tahaluf siyasi mereka bersama Dap, akan membuat keputusan yang  bijak demi manfaat umat Islam di negara ini,”ujarnya. 

Dipetik daripada : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment