Friday, June 26, 2015
ETS KL-Padang Besar Beroperasi 1 Julai
26 Jun 2015, Kuala Lumpur : Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang
menghubungkan Kuala Lumpur ke Padang Besar, Perlis dijangka beroperasi
bermula 1 Julai ini.
Presiden Keretapi Tanah Me-layu Berhad (KTMB), Sarbini Tijan berkata,
perancangan operasi telah disiapkan oleh KTMB dan berkemungkinan orang
ramai yang ingin pulang ke utara untuk menyambut Aidilfitri boleh
menggunakan perkhidmatan tersebut.
“Walau bagaimanapun, kami masih menunggu kelulusan daripada
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebelum per-khidmatan
tersebut boleh digunakan orang ramai.
“Setakat ini, hasil perbincangan bersama pihak SPAD menunjukkan
gambaran yang amat positif malah kami berharap mereka akan memberi
kelulusan secepat mungkin setelah melakukan beberapa siri ujian
keselamatan bertujuan menjamin keselamatan penumpang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengedarkan
sebanyak 3,000 pek berbuka puasa kepada penumpang KTMB di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengurus Kanan Pemasaran dan Khidmat Pelanggan
KTMB, Mohd. Noordin Kimi serta Pengurus Besar Komuter, Azshidah Shah
Shahani.
Dalam perkembangan lain, Sarbini turut memberitahu, pihaknya
menjangkakan sebanyak 120 unit Sistem Pengesanan Global (GPS) akan
dipasang di semua lokomotif seluruh rangkaian pada hujung tahun ini.
“Setakat ini sebanyak 50 unit GPS sudah dipasang. Pemasangan sistem
tersebut bertujuan memantau kedudukan tren selain memastikan tren tidak
dipandu melebihi had laju ditetapkan bagi menjamin tahap keselamatan
penumpang,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Noordin memberitahu, setakat ini KTMB sudah
mengeluarkan sebanyak 12,000 tiket dan lebih daripada 10,000 tiket sudah
dijual bagi tempoh 10 hingga 18 Julai sempena Aidilfitri.
“Bagi perjalanan ETS-Kuala Lumpur-Ipoh, kami menawarkan sebanyak
52,000 tiket dan 15,000 keping telah dijual bagi tempoh yang sama,”
katanya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment