Thursday, June 25, 2015
PAS Kelantan Berbaik Dengan Kerajaan Pusat Demi Rakyat
Jalinan kerjasama di antara Kelantan dan Persekutuan sejak bencana
banjir luar biasa melanda di negeri tersebut pada Disember tahun lalu
dilihat sebagai satu perubahan yang positif.
Malah, kejadian bah kuning luar biasa yang melanda di Kelantan bagai
melenyapkan pergeseran politik yang mencecah 25 tahun itu sejak diambil
alih Pas daripada Barisan Nasional (BN) pada 1990.
Demi kebajikan dan kepentingan rakyat, kerajaan negeri mengambil
keputusan duduk semeja dengan kerajaan Persekutuan berbincang dan
bertindak secara bersepadu bagi menyelamatkan mangsa ketika banjir serta
menggembleng tenaga untuk kerja-kerja pemulihan pascabanjir.
Satu Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir Negeri Kelantan yang
dipengerusikan bersama antara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Kelantan, Datuk
Ahmad Yakob ditubuhkan bagi memperkemas dan melancarkan setiap gerak
kerja.
Kesannya, rakyat dapat melihat kerajaan negeri dan juga persekutuan
seiring dalam usaha menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi mangsa
banjir.
"Kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan membentuk era baharu
untuk membela nasib rakyat Kelantan yang ditimpa musibah," kata Mustapa,
yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.
Dalam bencana banjir itu, jumlah anggaran penduduk di seluruh negeri
yang terjejas ialah seramai 300,000 orang manakala jumlah rumah yang
musnah dilaporkan sebanyak 1,827 buah rumah.
Justeru, kerajaan Persekutuan memutuskan akan membina sebanyak 1,255
Rumah Kekal Baharu (RKB) untuk mangsa banjir, dan kerajaan negeri pula
akan membina sebanyak 572 RKB.
Merujuk rekod Unit Pemulihan Pasca Banjir Jabatan Perdana Menteri,
kerajaan Persekutuan setakat ini telah menyiapkan 11 RKB manakala 434
RKB masih dalam proses pembinaan. Pada masa sama, kerajaan negeri turut
menyiapkan 12 RKB dan 422 RKB masih dalam pembinaan.
Dipetik daripada sumber : UtaraNews.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment