Friday, June 12, 2015

Pas Rendah Maruahnya – Guan Eng

Keengganan arah ahli letak jawatan merendahkan maruah Pas

12 Jun 2015, Kuala Lumpur : Parti DAP terus memperlekeh Pas selepas menyifatkan keengganan kepimpinan baharu parti itu mengarahkan wakil mereka mereka meletakkan jawatan dalam Kerajaan DAP Pulau Pinang sebagai memalukan.
http://www.selangornews.com/wp-content/uploads/2013/05/penang-CM.jpg
Malah, Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng berkata, tindakan empat Ahli Majlis Pas dalam Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mempertahankan kedudukan mereka juga merendahkan maruah dan penghormatan Pas di mata orang ramai.

Menurut Guan Eng, tindakan Pas memutuskan hubungan dengan DAP secara efektifnya bererti turut memutuskan hubungan dengannya sebagai Ketua Menteri.

Tambahnya, kepimpinan Pas yang baharu dan penyokong parti itu di negeri ini masih tanpa segan silu memegang jawatan kerajaan negeri walaupun menerima usul memutuskan hubungan dengan DAP.

“Jelas kepimpinan Pas yang baharu bukan sahaja kehilangan kehormatan mereka, tetapi juga prinsip-prinsip mereka,“ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Minggu lalu, Dewan Ulama Pas sebulat suara meluluskan usul tergempar untuk memutuskan hubungan dengan DAP dalam Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-61 tanpa bahas namun, akan meneruskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dalam pakatan pembangkang.

Berikutan itu, bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu pada Sabtu lalu, memutuskan melepaskan jawatannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang dan Penang International Halal Hub.

Tindakan itu disusuli oleh Datuk Dr. Mujahid Yusof yang turut mengumumkan peletakan jawatan serta-merta sebagai Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Islam Pulau Pinang dan Ahli Lembaga Pengarah Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang.

Malah, Kerajaan DAP Pulau Pinang juga telah menerima peletakan jawatan Ketua Penerangan Pas negeri, Rosidi Hussain sebagai Pengarah Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang.

Menurut Guang Eng, secara logiknya Pas harus mengarahkan wakil mereka meletakkan jawatan kerana parti Islam itu bukan lagi sebahagian daripada pembangkang susulan keputusan rakan sekutunya itu memutuskan hubungan dengan DAP.

Pada masa sama, beliau mempersoalkan bagaimana empat Ahli Majlis Pas berkenaan mampu berkhidmat dengan kerajaan negeri secara efektif sedangkan Pas telah memutuskan hubungan dengan DAP.

Sementara itu, Guan Eng turut menempelak Naib Presiden Pas, Idris Ahmad yang mendakwa cadangannya untuk wakil kerajaan PAS meletakkan jawatan dengan hujah ekstremisme dan perkaum­an menyebabkan persepsi negatif terhadap DAP dalam kalangan orang Melayu.

Dipetik daripada sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment