Friday, June 12, 2015
Perang Pas Dan Dap… Sandiwara Untuk Kekalkan Sokongan Sasar Masing-masing
11 Jun 2015, Kuala Lumpur : Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Anuar
Musa menyifatkan perbalahan antara Pas dan Dap yang berlaku hari ini
merupakan sandiwara semata-mata disebabkan kedua-dua buah parti itu
memikirkan kepentingan parti serta untuk mengekalkan sokongan rakyat
terhadap parti masing-masing.
Menurut beliau, contohnya di dalam Pas, kumpulan ulama kena
memperlihatkan ketegasan mereka terhadap Dap untuk mereka menang di
dalam pemilihan baru-baru ini dan akhirnya mereka berjaya menyapu bersih
semua jawatan yang dipertanding.
“Mereka mempergunakan isu Dap dengan alasan parti tersebut cuba
campur tangan dan sebagainya, maka tercapailah objektif kumpulan ulama
untuk menyingkirkan pemimpin-pemimpin tertentu yang ada di dalam Pas.
“Pemimpin-pemimpin yang tidak sebulu dengan kepimpinan parti akhirnya
tersingkir ekoran kumpulan ulama menggunakan isu pemimpin pro Dap di
dalam Pas sebagai senjata mereka di dalam muktamar baru-baru ini,”
ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Manakala Dap pula menurut beliau, isu hudud yang dimainkan oleh parti
tersebut hanyalah semata-mata untuk memperkasakan sokongan orang bukan
Islam, contohnya sokongan orang Kristian di Sabah dan Sarawak terhadap
parti mereka.
“Dap lihat jika mereka terus bersama dengan Pas, maka ianya akan
menjadi satu liabiliti kepada parti maka kepimpinan mereka berpura-pura
memutuskan hubungan dengan Pas. Perkara ini perlu dilakukan kerana Dap
makanannya adalah sokongan orang Cina dan orang Kristian.
“Manakala bagi orang Pas pula, makanannya pula ialah orang-orang yang
kuat beragama dan mereka berpura-pura bergaduh dan kedua-dua parti
tersebut mendapat untung daripada sandiwara pergaduhan mereka itu,”
ujarnya.
Tambah beliau, sampai bilakah Pas dan Dap mahu membohongi rakyat,
sama ada umat Islam dan kaum Cina. Dap kononnya tegas membangkang, namun
masih sekata dengan Pas begitu juga sebaliknya.
“Sebab itu saya yakin rakyat hari ini sudah mulai muak dengan
sandiwara pertelagahan antara Dap dan Pas yang seolah-olah berpatah
arang berkerat rotan, tetapi hakikatnya masih berpeluk bersama di dalam
Pakatan Pembangkang,”akhiri beliau.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment