Friday, June 26, 2015
Suhaizan Memperlekehkan Presiden PAS...Hadi Ketinggalan
25 Jun 2015, Petaling Jaya : Pemimpin progresif PAS yang tewas pada pemilihan awal
bulan ini yakin parti politik baharu yang bakal ditubuhkan untuk
menggantikan PAS dalam pembentukan Pakatan 2.0 tidak akan 'tenggelam'.
Setiausaha G18, Suhaizan Kayat menyifatkan, Presiden PAS, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang agak ketinggalan apabila memberi peringatan bahawa ahli
dan pemimpin parti Islam baharu itu akan 'tenggelam' apabila ia
ditubuhkan.
"Zaman sekarang sudah berubah. Lanskap politik sudah bertukar. Apa yang bakal ditubuhkan G18 ini berbeza dengan sejarah lama.
"G18 bukan dibentuk atas inisiatif satu dua pemimpin serpihan PAS. Ia
sebaliknya adalah gerakan rakyat, hasil sokongan rakyat," katanya kepada
mStar Online.
Sebelum ini Hadi memberi amaran bahawa pemimpin dan ahli PAS yang
menyertai parti dan pertubuhan lain akan 'tenggelam' bersama parti
baharu itu.
Kenyataan Hadi disokong Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
yang mengatakan bahawa sejarah membuktikan penubuhan parti serpihan PAS
tidak mampu bertahan lama.
Mohd Amar menamakan Parti Melayu Semangat 46 dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) sebagai contoh.
Mengulas lanjut, Suhaizan yang gagal mempertahankan jawatan Ketua Pemuda
PAS Pusat bagaimanapun menolak amaran dan peringatan Hadi.
"G18 berbeza dengan Hamim mahupun parti Berjasa (Barisan Jemaah Islamiah
Se-Malaysia). Parti-parti itu ditubuhkan oleh bekas pemimpin PAS yang
mahu bergerak sendiri.
"Bezanya G18 bukan ditubuhkan oleh pemimpin, walaupun yang mengetuainya
adalah bekas pimpinan PAS tapi hakikatnya ia didorong oleh sokongan
rakyat, bukan sahaja ahli PAS," katanya.
Jelas Suhaizan lagi, G18 kini giat mengadakan pertemuan dengan pelbagai
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendokong perjuangan Islam seperti
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Pertubuhan Jemaah Islah
Malaysia (JIM).
G18 diketuai bekas Timbalan Presiden PAS yang kalah, Mohamad Sabu.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment