Sunday, July 26, 2015
3 Wakil Rakyat PAS Selangor Umum Keluar Parti, Tidak Kisah Dengan Bai'ah
Dua ADUN PAS dan seorang Ahli parlimen dari Selangor mengesahkan akan
keluar parti dan menyertai parti baharu yang bakal ditubuhkan oleh
Gerakan Harapan Baru (GHB) pada 14 September ini.
Ketiga-tiga mereka ialah ADUN Morib, Hasnul Baharuddin; ADUN Hulu
Kelang, Saari Sungib dan Ahli Parlimen Kota Raja, Siti Mariah Mahmud.
Keputusan Hasnul dan Saari dijangka meletakkan pentadbiran kerajaan
negeri Selangor di bawah teraju PKR berada dalam keadaan tidak menentu.
Ini memandangkan tindakan mereka akan mengurangkan jumlah kerusi PAS di
dalam DUN dari 15 kepada 13 kerusi. DAP pula menguasai 15 kerusi
manakala PKR 13 kerusi.
Hasnul yang digantung keahliannya berkata, keputusan itu diambil atas
alasan PAS telah berpatah balik ke belakang apabila meminggirkan dan
membuang pemimpin berwibawa yang membawa parti itu maju ke hadapan dan
menjadikan perbezaan pendapat sebagai satu kesalahan.
“Keluar PAS bukan satu keputusan yang mudah sebenarnya kerana saya telah
lama dengan parti itu dan saya tidak bencikan PAS tetapi saya perlukan
wadah lebih baik. Kalau satu, dua orang keluar bolehlah dianggap parti
sebagai kecewa tetapi ini melibatkan ramai orang serta mendapat sokongan
dan saya percaya ada lagi ahli PAS lain yang mengambil sikap tunggu dan
lihat.
“PAS kena ingat, parti itu dulunya hanya dianggap parti kampung atau
Pantai Timur tetapi akhirnya mendapat banyak sokongan melalui dasar
keterbukaannya dan kerjasama dengan pakatan pembangkang tanpa
meninggalkan prinsip-prinsip asal,” katanya.
Semalam, bekas Ahli Jawatankuasa PAS pusat, Khalid Abdul Samad
mengesahkan kesemua pemimpin PAS yang terlibat dalam Gerakan Harapan
Baharu (GHB) akan meninggalkan parti itu secara automatik apabila sebuah
parti politik baharu ditubuhkan secara rasmi pada 14 September ini.
Parti tersebut yang tertubuh hasil inisiatif GHB yang dipengerusikan
oleh bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu akan menggantikan PAS
bagi menjalinkan kerjasama dengan parti pembangkang lain melalui apa
yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat Baru.
Saari Sungib yang turut digantung keahlian PAS memberitahu, beliau
membuat keputusan menyertai parti baharu atas prinsip demokrasi.
“Saya bukan lagi pemimpin PAS kerana keahlian saya dalam Pas digantung
sehingga Oktober ini. Atas prinsip demokrasi, saya menyokong GHB
seterusnya parti baharu yang bakal ditubuhkan nanti,” katanya.
Siti Mariah pula menjelaskan, terpulang kepada kepimpinan parti untuk memecatnya sekiranya beliau menyertai parti baharu nanti.
“Saya tunggu parti baharu ditubuhkan terlebih dahulu kerana kini masih
dalam proses. Saya tidak perlu keluar kerana dengan sendirinya akan
gugur jika saya sertai parti lain,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sepang daripada PAS, Mohamed Hanipa Maidin
yang difahamkan turut akan menyertai parti baharu terbabit gagal
dihubungi untuk mendapatkan pengesahan.
Panggilan telefon yang dibuat kepadanya tidak dijawab manakala mesej menerusi WhatsApp yang dihantar tidak dibalas.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment