Sunday, July 12, 2015
Amaran Dari Ketua Polis Negara Tentang 1MDB
Semua pihak termasuk ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO)
diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan terhadap isu 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) bagi melakukan sesuatu yang boleh mencemar
keharmonian dan keamanan negara ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri
Khalid Abu Bakar.
Berikutan itu, Khalid berkata beliau telah mengarahkan siasatan
dilakukan terhadap seorang ahli politik yang mengeluarkan kenyataan
tentang adanya demonstrasi besar-besaran mengenai isu tersebut.
“Saya beri ingatan tegas di sini kepada sesiapa sahaja tidak kira ahli
politik atau NGO, jangan ambil kesempatan terhadap isu (1MDB) sekarang,”
katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Program Rondaan Bersama Polis Diraja
Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang merupakan
sebahagian daripada Strategi Lautan Biru Kebangsaan di Bandar Hilir, di
sini hari ini.
Baru-baru ini, seorang Ahli Parlimen menyatakan beliau tidak menolak
berlaku demonstrasi besar-besaran membabitkan penyertaan individu, parti
politik dan NGO.
Ahli Parlimen itu dilaporkan berkata jika Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak masih tidak meletakkan jawatan atau berehat sementara
ketika siasatan ke atasnya sedang dijalankan, suara menuntut demonstrasi
itu akan lebih kuat.
Mengulas laporan terbaru Sarawak Report yang mendakwa RM2 juta telah
didepositkan ke dalam akaun isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah
Mansor, Khalid berkata akaun itu akan disiasat jika ada kena mengena
dengan kes 1MDB tersebut.
Sementara itu, beliau berkata indeks jenayah di negara ini menurun
kira-kira 14 peratus untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini
berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Katanya sebanyak 56,175 kes jenayah dicatat dalam tempoh itu tahun ini berbanding 65,336 kes pada tahun lepas.
“Jenayah jalanan juga menuruh sebanyak 27 peratus, manakala jenayah
ragut dan pecah rumah masing-masing turun sebanyak 19.1 peratus dan 10.4
peratus tahun ini,” katanya.
Ditanya mengenai tangkapan dua lelaki tempatan yang disyaki mempunyai
kaitan dengan militan IS di Syria, Khalid berkata polis akan terus
memantau perkara itu dan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang
terlibat.
“Mereka ini sebenarnya telah jauh terpengaruh dengan militan tersebut
dan kita tidak akan membiarkan mereka ini mengancam keselamatan negara.
“Ada beberapa lagi yang sudah kita kenal pasti. Kita akan tahan mereka apabila pulang ke negara ini,” katanya.
Pada 2 dan 7 Julai lepas, polis menahan dua lelaki tempatan di sekitar
Kuala Lumpur, yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan militan IS di
Syria dan merancang melancarkan serangan di beberapa sasaran penting di
Lembah Klang.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment