Sunday, July 12, 2015
Beranikah Azmin Jawab Cabaran SAMM??
Kerajaan Selangor diminta supaya mendedahkan isi kandungan perjanjian
penstrukturan semula industri air dengan Kerajaan Persekutuan.
Penyelaras Bersama Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor,
Khairoll Anuar Almegat berkata, isi kandungan perjanjian itu penting
untuk pengetahuan rakyat.
“Dengan termeterainya perjanjian ini telah menjadi bukti bahawa selama
ini rakyat Selangor telah dijaja dengan satu pembohongan terancang.
“Rakyat Selangor pasti masih belum lupa bagaimana isu pembinaan Loji
Langat 2 dikatakan tidak diperlukan tetapi hari ini perkara sebaliknya
berlaku”, katanya dalam kenyataan media.
Kerajaan Selangor dan Persekutuan menandatangani Perjanjian Tambahan
kepada Perjanjian Utama air pada Jumaat yang memberi lanjutan 60 hari
kepada kerajaan negeri untuk menyelesaikan pengambil alihan syarikat
konsesi air, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan Puncak
Niaga Sdn Bhd.
Khairoll Anuar berkata, walaupun menyambut baik perjanjian itu bagi
menyelesaikan masalah air di Lembah Klang, namun pengumumannya sedikit
pelik.
“Sebelum ini, Tan Sri Khalid Ibrahim, bekas Menteri Besar dikatakan
sebagai tunduk kepada UMNO/Barisan Nasional apabila berkeras mahu
melaksanakan projek Langat 2 dan penstrukturan air ini.
“Khalid telah dipecat dan digulingkan atas tuduhan memperdagangkan
dirinya kepada taikun belaan UMNO/BN termasuklah projek Langat 2 ini.
Oleh itu, SAMM Selangor ingin mendapatkan penjelasan, apakah bezanya
antara perjanjian Langat 2 Khalid dengan Langat 2 Azmin (Mohamed Azmin
Ali) ini ?, katanya.
Dia berkata, jika alasan isu pemilikan tanah dan hak milik Loji Air
Semenyih dan Bukit Nanas sahaja yang disandarkan selama ini, ia bukanlah
satu alasan konkrit kerana isu itu boleh diselesaikan di meja rundingan
bukan mengheret rakyat ke dalam drama perebutan kuasa sedikit masa
lalu.
“Adakah Azmin juga telah menjual dirinya kepada Taikun UMNO/BN, ” tegasnya.
Isu pertikaian hak milik Loji Air Semenyih dan Bukit Nanas antara
kerajaan Selangor dan Persekutuan menjadi punca penstrukturan air
tertangguh walaupun perjanjian utama telah ditandatangani pada September
tahun lalu, selain keengganan SPLASH menerima tawaran pengambilalihan
oleh kerajaan negeri.
Baru-baru ini Puncak Niaga Holdings Berhad, pemilik SYABAS dan Puncak
Niaga Sdn Bhd mengancam menarik diri daripada perjanjian air kerana
pelaksanaan penstrukturan itu telah beberapa kali tertangguh.
Tiga syarikat konsesi air- ABBAS, SYABAS dan Puncak Niaga- telah
menerima tawaran pengambilalihan oleh kerajaan negeri tetapi SPLASH
menolak kerana tawaran yang dibuat dikatakan terlalu rendah.
Kerajaan Selangor menawarkan RM9.65 bilion untuk ambil alih empat
syarikat konsesi itu, jumlah yang dibuat di bawah pentadbiran Khalid.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment