Thursday, July 09, 2015

Bantuan Kepada Rakyat di Sabah dan Kelantan Paling Diutamakan.. - DS Abdul Azeez

Biro Kebajikan UMNO mengutamakan Sabah dan Kelantan dalam menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa kejadian gempa bumi serta banjir besar yang melanda negara.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menegaskan, meskipun terdapat perbezaan fahaman politik, latar belakang dan agama, pihaknya tidak akan menafikan hak mangsa dua kejadian bencana tersebut.

Sehubungan itu, katanya, mangsa di dua negeri itu wajar disalurkan bagi meringankan beban kepada golongan umat Islam khususnya yang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

"Bantuan diberikan kepada semua mangsa bencana tanpa mengira latar belakang dan kepercayaan masing-masing, malah bantuan diberikan tanpa mengambil kira fahaman politik," katanya di Kota Kinabalu, semalam.

Abdul Azeez dalam ucapannya berkata demikian ketika menyampaikan bantuan sumbangan berupa wang tunai berjumlah RM200 dan barangan keperluan asas, selain penyerahan kuih raya sumbangan Perdana Menteri kepada 114 mangsa kebakaran di Kampung Gusung, Likas, Kota Kinabalu yang berlaku pada 23 Mei lalu.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Jainab Ahmad yang juga Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Negeri Sabah.

Dalam pada itu, Abdul Azeez juga meminta supaya Biro Kebajikan UMNO mengambil langkah untuk tidak keluar dari negara bagi memberi tum­puan sumbangan kemanusiaan di dalam negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, objektif utama biro berkenaan buat masa ini adalah menghulurkan bantuan kepada mangsa kejadian gempa bumi atau gegaran di Sabah dan menyelesaikan beberapa misi di Pantai Timur terutama Kelantan akibat banjir besar.

"Bantuan utama pastinya akan diberikan kepada rakyat di negara ini. Semua mangsa akan diberikan bantuan sewajarnya termasuk bantuan kepada mangsa kebakaran yang berlaku di Likas, Sabah seperti yang dilakukan pada hari ini."

"Semua ini selaras dengan Gagasan 1Malaysia yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendahulukan keperluan rakyat ter­utama ketika dilanda musibah," katanya.

Abdul Azeez menambah, sempena bulan Ramadhan yang menuntut umat Islam bersedekah, Biro Kebajikan UMNO akan memberi sumbangan air zam zam, buah kurma dan pakaian kepada 807 bu­ah masjid di Sabah. 

Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment