Sunday, July 26, 2015
Bye-Bye... Pakatan Pembangkang Baru Tanpa PAS
Dipercayai mendapat restu Datuk Seri Anwar Ibrahim, DAP dan sebahagian
pemimpin PKR (bukan fraksi Mohamad Azmin Ali) sedang merancang kerjasama
baru politik pakatan pembangkang tanpa melibatkan PAS.
PAS yang merupakan parti orang Melayu terkuat dan terbesar dalam Pakatan
diketepikan selepas sering bertelagah dengan DAP yang merupakan parti
berbagai kaum berterawskan Cina.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, PAS menjadi punca tamatnya kerjasama Pakatan Rakyat yang dibentuk pada 2008.
"Semestinya tanpa PAS... Pakatan Rakyat berkubur kerana kepimpinan PAS melanggari dasar bersama yang dipersetujui sebelum ini.
"Mereka gagal untuk mengotakan janji dan tidak boleh dipercayai,"
katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Aidilfitri di Parlimen
Rabu.
Mengulas lanjut, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah
mengesahkan bahawa DAP dan PKR sudah mengadakan pertemuan dan
perbincangan dengan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang berhasrat menubuhkan
parti politik baharu.
Kata Kit Siang, selepas berkuburnya Pakatan Rakyat, sebuah gabungan
pembangkang yang baharu perlu dibentuk bagi meneruskan perjuangan
membela nasib rakyat.
"Perbincangan berterusan sudahpun dibuat. Ada keperluan untuk mencari
platform baharu bagi mendapatkan sokongan rakyat menjelang PRU-14.
"Kita sudah bincang mengenai platform baharu ini, sama ada Pakatan Baru,
Pakatan Rakyat 2.0 atau Harapan Baru, kita belum tahu. Ia dalam proses
untuk dibentuk," katanya.
Bagaimanapun difahamkan kumpulan PKR yang menyebelahi Menteri besar
Selangor Mohamad Azmin Ali tidak bersetuju dengan move menyingkirkan PAS
itu.
Ini berikutan Azmin menjadi MB Selangor dengan sokongan sulit lima ADUN
PKR dan PAS selepas kemelut perebutan jawatan tersebut tidak kunjung
selesai September tahun lalu.
DAP hanya menyokong kepimpinan Azmin selepas kena 'check mate' kerana
mendapati Azmin memperolehi lebih sokongan berbanding calon mereka ADUN
Kajang Datin Seri Dr wan Azizah wan Ismail.
Sungguhpun Azmin boleh menyingkirkan PAS dan bergantung dengan sokongan
DAP serta PKR untuk mentadbir Selangor... membiarkan PAS menjadi parti
pembangkang bersama UMNO akan menyebabkan beliau sukar mentadbir negeri
itu.
Selain itu, intrik politik dalaman PKR yang mahu memperkukuh kumpulan
pro Wan Azizah dalam parti dan kerajaan Selangor sudah pasti akan
mengganggu tugas Azmin.
Anwar Ibrahim dalam kenyataannya Selasa berkata PKR sedang mewujudkan
permuafakatan politik antara gerakan progresif dan badan bukan kerajaan
(NGO).
Ini adalah pendirian PKR yang paling jelas setakat ini terhadap ura-ura
penubuhan sebuah parti politik baru oleh kumpulan bekas pemimpin PAS
yang kalah dalam pemilihan parti 4 Jun lalu.
"Kita sedang berusaha mewujudkan muafakat politik yang lebih utuh, yang
akan melibatkan semua gerakan progresif termasuk NGO seperti BERSIH,
ABIM, IKRAM dan Gerakan Harapan Baru yang baru sahaja diwujudkan",
katanya.
Kenyataan bekas ahli parlimen Permatang Pauh itu dilihat sebagai langkah
ke arah menyokong penubuhan GHB yang dikatakan bakal ditubuhkan pada 14
September depan.
"Permuafakatan ini merupakan kesepakatan kumpulan-kumpulan yang komited
kepada reformasi dan perubahan, yang akan memberikan pilihan yang
benar-benar demokratik dan adil kepada Rakyat" katanya.
PKR sebelum ini dilihat berdolak dalih apabila ditanya bersabit
pendirian mereka terhadap penubuhan sebuah parti politik baru untuk
menyertai Pakatan Rakyat 2.0.
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli jelas memberi sokongan malah,
Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Saifuddin Nasution pula bersetuju untuk
menyertai siri jelajah untuk menjelaskan rasional penubuhan parti
politik baru.
Namun, Azmin Ali selaku orang nombor dua parti cuba menjarakkan diri
dengan berkata parti itu tidak akan campur tangan dalam kemelut PAS-GHB
bagi menjaga hubungan PAS-PKR dalam kerjasama kerajaan negeri Selangor.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng Selasa membayangkan parti pimpinannya
bersedia menjalinkan kerjasama dengan GHB berikutan gerakan itu berbeza
dengan PAS.
Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menyifatkan perjuangan
kepimpinan jawatankuasa penaja parti baru itu lebih bersifat progresif
dan Islam sederhana yang jauh berbeza dengan perjuangan bekas rakan
sekutunya itu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment