KENYATAAN MEDIA
YB MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN
“PERLANTIKAN DATUK BANDAR KUALA LUMPUR DAN PRESIDEN PERBADANAN PUTRAJAYA YANG BARU”
7 Julai 2015, Putrajaya : Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur, YBhg. Datuk Hj Mhd. Amin Nordin bin Abdul Aziz, 59 tahun
dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baru untuk tempoh 2
tahun berkuatkuasa 18 Julai 2015. Beliau menggantikan YBhg Tan Sri Haji
Ahmad Phesal bin Talib yang tamat tempoh kontraknya pada 17 Julai 2015.
Pelantikan Datuk Hj Mhd. Amin Nordin sebagai Datuk Bandar Kuala
Lumpur yang ke-11 telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong mengikut Bahagian II, Seksyen 4(2) Akta Ibu Kota
Persekutuan 1960.
Mengulas mengenai kontrak perkhidmatan Tan Sri Haji Ahmad Phesal
yang tamat pada 17 Julai 2015, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi
ucapan penghargaan dan terima kasih kerana sepanjang perkhidmatan beliau
sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur, pelbagai perkara dasar dan
pelaksanaan diperingkat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah dapat
dilaksanakan dengan berkesan dan cemerlang.
Sementara itu, YBhg. Datuk Haji Hasim bin Haji Ismail, 58 tahun pula
dilantik sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya yang baru berkuatkuasa 1
Ogos 2015 menggantikan YBhg. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Aseh bin Hj. Che
Mat yang tamat tempoh kontraknya pada 31 Julai 2015.
Perlantikan YBhg. Datuk Haji Hasim untuk menerajui Putrajaya diharap
dapat meneruskan kecemerlangan yang dibawa oleh Tan Sri Aseh sehingga
menjadikan Putrajaya, bukan sahaja sebagai sebuah Pusat Pentadbiran
Kerajaan Persekutuan ketika ini, malah dikenali di mata dunia menerusi
pelbagai penganjuran acara berprestij dan bertaraf dunia.
Saya turut merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima
kasih kepada Tan Sri Aseh yang telah membawa Putrajaya ke landasan yang
tepat serta mewujudkan pelbagai ikon tersendiri untuk bandar pintar dan
hijau ini, sekaligus dikenali bukan sahaja dalam negara malah di persada
antarabangsa.
PENGALAMAN KERJA
YBhg. Datuk Hj Mhd. Amin Nordin bin Abd Aziz
Berdasarkan rekod perkhidmatan YBhg. Datuk Hj Mhd. Amin Nordin
sebagai Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, beliau telah
melaksanakan tugas dengan cemerlang dan telah menunjukkan komitmen dan
kewibawaan yang tinggi. Justeru, gaya kepimpinan beliau telah diterima
dengan baik oleh warga DBKL serta majoriti penduduk Kuala Lumpur. Beliau
telah mula bertugas di DBKL semenjak tahun 1978 lagi. Tempoh selama 37
tahun pengalaman beliau di DBKL akan banyak membantu beliau untuk
melaksanakan tugas-tugas sebagai Datuk Bandar.
Memandangkan rekod perkhidmatan beliau yang cemerlang, beliau akan
dapat mentadbir Kuala Lumpur ke aras yang lebih baik selaras dengan
matlamat dan visi DBKL untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandaraya
bertaraf dunia atau “World Class City” menjelang tahun 2020.
Datuk Haji Hasim bin Haji Ismail
YBhg. Datuk Haji Hasim bin Haji Ismail mempunyai pengalaman yang
cukup luas dalam hal ehwal keselamatan, pentadbiran dan pengurusan
kerajaan tempatan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau selama 32 tahun
dalam kerajaan. Beliau yang kini menyandang jawatan Timbalan Ketua
Setiausaha Pengurusan, Kementerian Dalam Negeri pernah bertugas sebagai
Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan, Kementerian Wilayah Persekutuan
serta terlibat secara langsung dengan dasar-dasar mengenai Wilayah
Persekutuan Putrajaya serta program-program pembangunan lain di
Putrajaya; dan ini akan memudahkan beliau menjalankan tugas sebagai
Presiden Perbadanan Putrajaya kelak.
LATAR BELAKANG
YBhg Datuk Hj Mhd. Amin Nordin bin Abd Aziz:
YBhg Dato’ Hj Mhd. Amin Nordin bin Abd Aziz berasal dari Negeri
Sembilan, dilahirkan pada 1 Ogos 1955 merupakan pemegang Ijazah Sarjana
Muda dalam bidang Ekonomi dari Universiti Malaya pada tahun 1978. Beliau
kemudiannya menyambung pengajian dalam Diploma in Urban Development di
University of Birmingham, United Kingdom pada tahun 1986.
Sepanjang berkhidmat selama 37 tahun dalam DBKL, beliau mempunyai
pengalaman yang cukup luas dalam urusan pentadbiran, pembangunan dan
perancangan serta pengurusan kerajaan tempatan. Berikut adalah
jawatan-jawatan yang pernah disandang oleh beliau;
Penolong Pengarah
Jabatan Pengindahan Bandar, DBKL
(1978 – 1983)
Pengurus Cawangan
Pejabat DBKL Cawangan Kepong
(1983 – 1986)
Pegawai Khas Kepada Datuk Bandar
Pejabat Datuk Bandar Kuala Lumpur
(1986-1990)
Timbalan Pengarah
Jabatan Perkhidmatan Bandar, DBKL
(1990-2001)
Pengarah
Jabatan Seni Taman dan Kawalan Pembersihan Bandar, DBKL
(2001)
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan DBKL
(2001 – 2003)
Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan DBKL
(2003 – 2011)
Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL
(2011 – 2014)
Ketua Pengarah DBKL
(2014 – 2015)
Sepanjang perkhidmatan, beliau turut dianugerahi Pingat, Bintang dan Darjah Kebesaran seperti berikut:
Ahli Setia Negeri Sembilan (A.N.S.) Negeri Sembilan – 2002
Kesatria Mangku Negara (K.M.N.) Persekutuan – 2003 Darjah Satria Negeri Sembilan (D.N.S.) Negeri Sembilan – 2005
Darjah Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W.) Wilayah Persekutuan – 2008
Panglima Jasa Negara (P.J.N.) Persekutuan – 2015
Datuk Haji Hasim bin Haji Ismail
YBhg Datuk Haji Hasim bin Haji Ismail berasal dari Melaka, dilahirkan
pada 8 Mei 1957 merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera
(Sosiologi) dari Universiti Malaya pada tahun 1981. Beliau turut
memperolehi Diploma Pengurusan Awam dari Institut Tadbiran Awam Negara
(INTAN) pada tahun 1982. Berikut adalah jawatan-jawatan yang pernah
disandang oleh beliau;
Penolong Pengarah Bahagian Pencen
Jabatan Perkhidmatan Awam
(1983-1988)
Penolong Pentadbir Tanah Daerah
Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah
(1988-1992)
Penolong Pengarah (Pelancongan)
Unit Perancang Ekonomi Negeri
Jabatan Ketua Menteri Melaka
(1992-1996)
Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan)
Pejabat Daerah dan Tanah Melaka
(1996-1997)
Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Melaka
(1997-2003)
Ketua Penolong Setiausaha
Kerajaan Negeri (Pembangunan)
Unit Perancang Ekonomi Negeri
Jabatan Ketua Menteri Melaka
(2003-2005)
Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah)
Pejabat Daerah dan Tanah Jasin, Melaka
(2005)
Pegawai Daerah Alor Gajah
Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah
(2005-2009)
Pengarah
Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan
(2009-2012)
Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan
Kementerian Wilayah Persekutuan
(2012-2014)
Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan
Kementerian Dalam Negeri
(2014-2015)
Sepanjang perkhidmatan, beliau turut dianugerahi Pingat, Bintang dan Darjah Kebesaran seperti berikut:
Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.) Melaka – 1997
Bintang Cemerlang Melaka(B.C.M.) Melaka – 2001
Darjah Seri Melaka(DMS) Melaka – 2008
Darjah Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W.) Wilayah Persekutuan – 2012
Sekian, terima kasih.
TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
Menteri Wilayah Persekutuan
7 Julai 2015
No comments:
Post a Comment