Tuesday, July 07, 2015

Serangan Terhadap Najib… Jangan Mendahului Prinsip Perundangan – Saarani

7 Julai 2015, Kuala Lumpur : Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamed melihat serangan bertali arus terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukanlah serangan terhadap batang tubuh Presiden UMNO semata-mata tetapi terhadap parti dan kerajaan yang ada hari ini.
istana-kehakiman-undang-undang-kerajaan-malaysia-berdaulat-syariat-akidah-islam-muslim-sunnah-mazhab-shafie
Justeru tegas beliau semua pihak khususnya rakyat negara ini perlu sedar dan bijak serta tidak seharusnya mendahului prinsip perundangan dengan melontarkan pelbagai tohmahan serta persepsi yang tidak membawa sebarang makna kepada negara dan rakyat.

“Isu 1MDB, jet peribadi dan terbaru dakwaan daripada Wall Street Journal dan sebagainya lagi adalah alat yang digunakan untiuk menyokong serangan demi serangan yang dilakukan terhadap institusi presiden dan Perdana Menteri kita.

“Janganlah kita tumpang sekaki dan bersekongkol dengan mereka-mereka yang cuba melihat kejatuhan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO. Soal sama ada tuduhan itu tidak berasas dan sebagainya lagi bukankah ianya sedang diuruskan oleh pihak-pihak berkenaan seperti PAC, SPRM, Bank Negara dan sebagainya.

“Jadi janganlah kita terjebak sama kerana yang pastinya yang melakukan serangan tentunya ada agenda tersendiri,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Hari ini dilaporkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata seluruh ahli UMNO perlu terus waspada dan tidak alpa kerana pihak lain khususnya pembangkang sentiasa mencari ruang dan peluang bagi merobohkan perpaduan dan kesatuan yang menjadi benteng parti selama ini.

Justeru beliau menyeru ahli-ahli UMNO dari kepimpinan atas hinggalah ahli-ahli di akar umbi mengambil sikap bertenang dan berfikir secara rasional berhubung pelbagai isu yang berlaku di sekeliling sejak kebelakangan ini khususnya serangan bertali arus terhadap Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan seterusnya menambah perpaduan merupakan kunci utama kepada sesebuah kejayaan parti dalam menerajui negara.

“Jika kita berbalik kepada sejarah…kenapa dulu kita kuat… sama-sama kita renungkan kerana apa yang penting hari ini kita mahu parti terus kukuh. Malah lebih daripada itu sudah tentunya rakyat juga mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan kuat.

“Sehubungan itu marilah kita sama-sama bertaut antara satu dengan yang lain. Ini bukan kali pertama UMNO diserang dan ini bukan kali pertama parti ditohmah dengan macam-macam dan ini bukan kali pertama Presiden parti menjadi sasaran. Kuncinya adalah perpaduan dan jangan sekali sama menari songsang dengan pihak lawan,” ujarnya.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment