Tuesday, July 07, 2015
Felda Tidak Bankrap
Datuk
Seri Najib Tun Razak menasihatkan warga Felda dan pemegang saham supaya
tidak berasa bimbang dan resah dengan kejatuhan saham Felda Global
Ventures Holdings Berhad (FGV) sejak beberapa hari lalu.
Ini kerana kata Perdana Menteri, Felda mempunyai banyak perancangan
untuk mengembalikan pengukuhan harga saham FGV dan perkara berkenaan
akan dilakukan dalam waktu terdekat.
“Marilah kita bersama-sama dengan Felda, jangan banyak ragam. Saya
percaya, warga Felda tidak begitu. Yang mengelirukan adalah orang luar
yang datang ke Felda. Yang bawa `batu api’.
“Makhluk perosak inilah yang mencucuk, meracuni fikiran kita kononnya
Felda bankrap (muflis),” katanya dalam Program Ihya Rahmat Ramadan
warga Felda Peringkat Kebangsaan 2015 di Padang Awam Felda Pasoh 4 dekat
sini hari ini.
Ketibaan Najib disambut Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan;
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri
Hasan Malek; Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Datuk Jalaluddin Alias.
Kata Najib, kalaulah ada yang mendakwa Felda `bankrap’, bagaimana
pula Felda pada hari ini boleh pula mengumumkan pembayaran dividen dan
duit raya kepada warga Felda?
“Hari ini saya umumkan, pembayaran dividen FGV melalui pegangan Felda
dalam syarikat ini berjumlah lebih RM59.2 juta,” kata beliau.
Yang turut diumumkan adalah penyampaian duit raya kepada peneroka
Felda dengan jumlah keseluruhannya lebih RM29.6 juta, yang mana dividen
FGV dan pemberian duit raya akan dibayar mulai 13 Julai ini.
Sebanyak 98,688 peneroka Felda yang bersama Felda dan layak
masing-masing akan menerima dividen sebanyak RM600 dan RM300 duit raya
manakala 13,947 peneroka yang tidak bersama Felda, tidak mendapat
dividen dan duit raya.
Peneroka yang tidak bersama Felda adalah mereka yang tidak menanam
semula bersama Felda atau tidak menghantar hasil ladang ke Felda,
berurus niaga tanah tanpa kebenaran Felda dan menyaman Felda.
“Saya berharap pemberian duit raya akan dapat meringankan beban
kewangan peneroka dalam membuat persiapan menyambut ketibaan Syawal,”
katanya.
Dalam ucapan sama, Najib turut menyatakan beberapa strategi yang akan
diambil oleh Felda termasuklah menimbangkan tawaran hartanah di luar
negara dengan anggaran keluasan 420,000 hektar bagi tujuan perladangan.
“Hal itu akan diperhalusi termasuklah melihat syarat dan termanya.
Kita belum memutuskan dan akan bertemu dengan pemegang saham, Kumpulan
Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam
waktu terdekat.
“Saya akan pastikan apa juga jual beli, hendaklah harga yang
ditawarkan itu berpatutan dan jangan bayar lebih daripada itu. Kita
pastikan harga sebaik mungkin sebelum membuat sebarang keputusan
mengenainya. Saya berhati-hati dalam hal ini,” tegasnya.
Terdahulu, Perdana Menteri melawat rumah Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di Felda Pasoh 1 dekat sini.
Projek perumahan itu bermula dua tahun lalu dan akan diserahkan
kepada generasi kedua Felda berkeluasan 1,400 kaki persegi setiap unit
melibatkan pembinaan sebanyak 144 unit di Felda Pasoh 1.
Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada berkata, projek itu adalah
projek perintis di negara ini dan sebanyak lapan projek akan didirikan
di negeri ini.
“Kawasan yang terlibat dengan lapan rancangan pembinaan PGBF ialah Jempol, Tampin dan Jelebu.
“Untuk seluruh negara, sebanyak 8,570 unit akan didirikan di bawah 33 skim yang akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment