Tuesday, July 07, 2015

Peniaga Tamak Naikkan Harga Daun Sup RM20 Sekilo di Pulau Pinang

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata, bekalan makanan dan sayur-sayuran termasuk daun sup di seluruh negara mencukupi bagi menampung permintaan pengguna khususnya dalam bulan Ramadan.

Menurut beliau, masalah bekalan bukan penyebab utama yang menjadikan harga makanan dan sayur-sayuran naik sebaliknya faktor lain.

"Tidak timbul masalah bekalan sayur-sayuran termasuk daun sup yang boleh dijadikan alasan untuk peniaga menaikkan harga dengan mendadak pada bulan Ramadan ini."

"Malah kita sentiasa melakukan pemantauan, sekiranya bekalan tidak mencukupi kita akan menambah bekalan dari semasa ke semasa," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kepada penduduk setempat di Masjid Kampung Charuk Puting di Bera, semalam.

Menerusi satu laporan portal semalam, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan rasa terkejut apabila harga sekilogram daun sup atau daun saderi meningkat lebih 500 peratus di negeri itu.

Presiden CAP, S.M. Mohamed Idris berkata, harga daun saderi itu yang asalnya berharga RM3 meningkat mendadak kepada RM20 atas alasan permintaan tinggi terutama pada bulan Ramadan.

Ismail Sabri menjelaskan, bekalan makanan dan sayur-sayuran kerap kali dipantau oleh pihak kementerian supaya sentiasa mencukupi bagi memastikan harga-harga barangan keperluan berkenaan tidak meningkat dan membebankan pengguna.

Oleh itu, ujarnya, tidak menolak kemungkinan kenaikan harga sayuran termasuk daun sup adalah berpunca daripada sikap segelintir peniaga yang mengambil kesempatan sewenang-wenang menaikkan harga pada bulan Ramadan ekoran permintaan yang meningkat.

Jelas Ismail lagi, berdasarkan pemantauan yang dijalankan di setiap pasar tani di seluruh negara, harga daun sup yang dijual pada masa ini adalah antara RM13 hingga RM15 sekilogram dan bukan sepertimana yang dialami pengguna di Pulau Pinang.

Sungguhpun begitu, beliau berkata, isu kenaikan harga barangan keperluan adalah terletak di bawah kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) manakala pihaknya bertanggungjawab terhadap bekalan.

Ismail menambah, pihaknya telah melancarkan kempen menurunkan harga di setiap pasar tani di seluruh negara iaitu sebanyak 73 jenis barangan bagi memastikan pengguna mendapat barangan keperluan dengan harga patut. Namun ia tidak termasuk daun sup dan daun saderi. 

Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment