Tuesday, July 07, 2015
Inilah Keikhlasannya....Saya Tidak Akan Khianati Rakyat, Negara - Najib
6 Julai 2015, Besut : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau
tidak akan mengkhianati rakyat dan negara dan akan berusaha mencari
jalan kebenaran dalam menangkis segala tuduhan dilemparkan terhadap
kepimpinannya.
Najib berkata, beliau berterima kasih terhadap sokongan diberikan oleh
pemimpin Umno dan juga oleh pemimpin tertinggi PAS, Mursyidul Am PAS,
Datuk Haron Din yang menjelaskan tuduhan dalam isu 1Malaysia Development
Berhad (1MDB) itu sebagai tidak masuk akal.
"Saya tidak akan khianati rakyat. Saya akan cari (jalan) untuk tegakkan
kebenaran, bertenang, kebenaran akan terbukti," katanya ketika berucap
pada majlis perasmian Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut
dan Pelancaran program Al-Syahadah Al-Ulya Ulul Albab di sini, Isnin.
Beliau menyeru rakyat untuk bertenang serta bersatu dalam menangkis
segala tuduhan terhadap kerajaan dan pemimpin negara walaupun mereka
berbeza dari segi fahaman politik.
Menurutnya untuk membina sebuah tamadun yang maju, rakyat sesebuah negara itu tidak seharusnya berpecah-belah.
Pada Ahad, Najib berkata, beliau akan membuat keputusan dalam masa
beberapa hari mengenai bentuk tindakan yang akan diambil berhubung
tuduhan kononnya kira-kira AS$700 juta (RM2.6 bilion) daripada dana 1MDB
telah disalurkan ke dalam akaun peribadinya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, negara maju tidak akan
memperlekeh negara ini jika rakyat mempunyai kekuatan iman dan takwa
yang menjadi asas untuk membangunkan sebuah tamadun yang hebat lagi
berjaya.
Beliau berkata untuk melahirkan generasi ulul albab, negara bukan sahaja
perlukan generasi yang ada kekuatan fizikal malah juga kemampuan minda.
"Kita bukan sahaja mesti ada kekuatan secara peribadi, kekuatan yang
terbit daripada keimanan dan ketakwaan mesti ada untuk melahir dan
membangun sebuah tamadun yang hebat lagi berjaya, barulah kita boleh
setanding dengan negara yang lebih maju daripada kita hari ini,"
katanya.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment