Wednesday, July 08, 2015
Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak...Teruknya Mainan Politik Untuk Jatuhkan Bila Sudah Tidak Suka Lagi..
Dakwaan terbaharu kononnya Datuk Seri Najib Razak menggunakan dana
kerajaan untuk kepentingan peribadi, dianggap sebagai satu lagi
pembohongan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menjatuhkan kerajaan. Justeru,
Perdana Menteri memberi amaran, pihak yang terus menggunakan taktik
sedemikian bakal berdepan tindakan undang-undang. Berikut adalah
kenyataan penuh Najib yang dikeluarkan malam smalam....
1. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pelbagai tuduhan - semuanya
tidak berasas dan kebanyakannya mengarut - dilakukan terhadap saya dan
keluarga.
2. Serangan bermula apabila saya enggan melaksanakan tuntutan peribadi
Tun Dr Mahathir Mohamad. Saya enggan kerana berasa adalah tidak wajar
bagi Malaysia ditadbir secara proksi.
3. Tun kemudian mencipta krisis apabila tanpa usul periksa mendakwa RM42
bilion hilang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedangkan
hakikatnya ia adalah hutang yang diaudit dan disokong oleh aset diaudit
bernilai RM51 bilion.
4. Dakwaan terbaharu ialah kononnya saya mengambil dana berkaitan
kerajaan untuk kepentingan peribadi. Saya percaya Tun berada di belakang
pembohongan ini, berganding bahu dengan pihak asing termasuk blog
politik Sarawak Report yang semakin diragui kredibilitinya.
5. Saya ingin berterus terang: Saya tidak pernah mengambil dana demi
kepentingan peribadi seperti didakwa seteru politik - baik daripada
1MDB, SRC International atau entiti lain, seperti mana disahkan oleh
semua syarikat terbabit.
6. Jelas sekali, tuduhan palsu seperti ini adalah sebahagian daripada
kempen terancang sabotaj politik untuk menjatuhkan Perdana Menteri yang
dipilih secara demokrasi.
7. Mereka yang membuat dakwaan itu tidak pernah mengetengahkan sebarang
bukti. Apa yang kita dengar hanyalah dakwaan berasaskan kebocoran
dokumen dan penyiasat tanpa nama. Tiada sekali pun sumber dokumen ini
ditampilkan, manakala dokumen berkenaan juga tidak pernah dikemukakan
untuk pengesahan pihak berkuasa.
8. Seperti diketahui, beberapa dokumen yang menjadi asas dakwaan
kebelakangan ini dilaporkan telah diubah. Individu yang membocorkan
dokumen ini sedang disiasat oleh pihak berkuasa di luar negara kerana
cuba memeras ugut bekas majikannya. Hakikat ini besar kesannya terhadap
kesahihan dokumen berkenaan dan mereka yang menggunakannya untuk
memburuk-burukkan kerajaan serta negara kita.
9. Mereka yang terus melancarkan serangan ini perlu bersedia untuk
berdepan tindakan berikutan perbuatan mereka. Taktik kotor - termasuk
taktik jenayah dalam beberapa keadaan - untuk menumbangkan kerajaan akan
gagal. Dalam beberapa keadaan, mereka bakal berdepan tindakan mengikut
peruntukan undang-undang.
10. Malang sekali serangan palsu bertubi-tubi yang didorong kepentingan
peribadi ini berlaku pada ketika Malaysia memiliki pelbagai kelebihan
unik - kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dan status negara
maju yang semakin hampir dicapai. Saya kekal dengan fokus untuk
membangunkan negara demi rakyat.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment