Tuesday, July 07, 2015
Mukhriz Dakwa Bapanya "Serang" Najib Untuk Perkukuhkan UMNO..
Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir berkata, beliau kini tersepit
di tengah-tengah kemelut antara dua pemimpin, Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak dan bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad – kerana kedua-dua
tokoh itu sedang "berperang" antara satu sama lain.
Berucap dalam satu program, yang mana rakaman ucapannya dimuat naik di
laman blog Minaq Jinggo, Muhriz berkata, beliau mengambil pendirian
mendiamkan diri kerana khuatir ada pihak yang akan terguris hati.
"Saya tersepit antara dua tokoh besar dalam negara, satu pemimpin, satu
bapa sendiri. Dalam istilah Bahasa Inggeris, 'stuck between a rock and
hard place', maksudnya dua-dua keras, kita duduk tengah-tengah, dalam
Bahasa Melayunya, 'bila gajah berperang kita nak lari mana'," katanya
seperti di dalam video klip berdurasi 10:44 minit itu.
Mukhriz bagaimanapun berkata, beliau mempunyai pendirian peribadi dalam
isu yang berbangkit, namun demi kepentingan negara dan parti, serta
orang Melayu, beliau memilih untuk mendiamkan diri.
"Saya ambil pendirian 'duk' senyap sahaja. Nak komen pandai-pandai,
nanti ada yang terguris hati. Saya ambil pendirian untuk tidak mencelah.
"Secara peribadi tentunya saya ada pendirian. Tapi saya fikir apa kesan kepada parti, orang Melayu dan negara kita," katanya.
Dalam ucapannya itu, Mukhriz berkata, beliau mengharapkan agar apa
sahaja kemelut yang berlaku di dalam negara ini akan berjaya
diselesaikan.
"Tapi sabar pun ada hadnya, jadi bulan puasa ni paling sabarlah. Saya
sangat mengharapkan, hari-hari berdoa, apa pun kemelutnya, akan
terselesai, cara terbaik bagi kita, supaya ia tidak membawa mudarat
kepada kita semua," katanya.
Selain itu, Mukhriz turut dilihat mempertahankan Dr Mahathir, apabila
berkata, bekas perdana menteri yang pernah berkhidmat selama 22 tahun
itu tidak mungkin terlibat dan mempunyai kaitan dengan pemalsuan dokumen
yang dilakukan Xavier Andre Justo, bekas pengarah PetroSaudi
International yang ditahan di Thailand baru-baru ini.
"Pandangan peribadi saya sendiri, tak timbul langsung Dr Mahathir
terlibat dalam menyeleweng atau nak tukar fakta, emel atau sebagainya.
Itu dakwaan tidak adil.
"Terbaru sekali, terlibat dengan Justo yang dikatakan dalang di sebalik
menukar dokumen-dokumen ini, dan kononnya Tun Mahathir terlibat. Itu
dakwaan tak benar. Saya harap tak panjanglah cerita itu," katanya.
"Kalau ada pihak kata tidak adil buat dakwaan tak berasas kepada pucuk pimpinan, samalah dengan dakwaan kepada Dr Mahathir."
Beliau juga turut menyuarakan keyakinan apa yang dilakukan bapanya sebelum ini adalah untuk mengukuhkan parti.
"Saya percaya apa yang ayah saya lakukan itu untuk kuatkan parti," katanya.
Mukhriz turut dilihat menyeru agar semua pihak bersatu agar rakyat dapat melihat Umno bersatu demi kebenaran.
"Kita dituntut untuk melakukan beberapa perkara. Saya nak persoalkan apa
pendirian kita mengenai tuntutan itu. Kita dituntut untuk bersatu.
Agama kita pun tuntut kita bersatu. Tetapi bersatu mesti dengan niat
yang baik. Niat itu penting.
"Kalau kita tak tahu sebab apa kita bersatu, penyatuan itu tidak berapa
nak jadi. Kena ada prinsip, fahaman dan ideologi. Tak payah orang suruh
pun kita akan bersatu. Adakah kita bersatu (kerana) kebenaran atau
kebatilan," katanya.
Pada Jumaat, Najib menolak laporan Wall Street Journal (WSJ) yang
mendakwa dana 1MDB dipam ke dalam akaun peribadinya, dan meletakkan
kesalahan berhubung laporan itu kepada Dr Mahathir, yang beberapa bulan
kebelakangan ini menggesa beliau meletak jawatan.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment