Tuesday, July 07, 2015
Hina Pakaian Iban: Teresa Kok Terus Kena Kritik Oleh Pengguna Media Sosial
Sebuah portal berita melaporkan, pengguna media sosial berterusan
mengkritik Ahli Parlimen Seputeh daripada DAP, Teresa Kok Suh Sim
kerana mengaitkan pakaian tradisi lelaki Iban untuk menyindir kod etika
pemakaian di jabatan kerajaan.
Malah, boleh dikatakan kebanyakan pengguna di alam siber melahirkan
ketidakpuasan hati terhadap tindakan Teresa itu sedangkan orang Iban
tidak menggunakan pakaian berkenaan untuk aktiviti seharian dan urusan
pejabat, sebaliknya dikhususkan untuk perayaan atau upacara tertentu
sahaja.
Semalam, Teresa menerusi laman sosial Facebook miliknya memuat naik
gambarnya bersama-sama enam lelaki berpakaian tradisi Iban di Gereja
Divine Mercy di Shah Alam sempena sambutan Gawai dan Kaamatan dan pada
masa sama menyatakan rasa tertarik terhadap pakaian yang disifatkannya
‘setengah bogel’ atau ‘tidak tutup aurat’.
"Pakaian tradisi Iban ini memang akan dilarang masuk pejabat kerajaan
dengan kod pakaian perkhidmatan kerajaan sekarang. Pakaian dan kostum
sebegini memang telah menjadi sebahagian daripada budaya yang beraneka
corak di Malaysia."
"Inilah kostum dan budaya yang harus dipelihara kerana telah menjadi
ciri dan tarikan pelancongan di Malaysia," katanya dalam keterangan
bersama gambar berkenaan di laman Facebook miliknya semalam.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak mendapat 'respons' yang diharapkannya
apabila ribuan kritikan dilontarkan termasuk daripada pengguna Facebook
bernama ‘Alwi Adam EzazWealth’ yang berpendapat kenyataan Teresa itu
langsung tidak tepat dan menggores sensitiviti masyarakat Iban.
"Nampak sangat tidak kenal orang Sarawak. Orang Iban sudah tidak pakai
pakaian macam ni untuk aktiviti seharian. Ini pakaian tradisi. Teresa
ingat orang Iban mundur sangat ke? Dah majulah," katanya dalam ulasan
yang mendapat 2,291 ‘like’.
Selain itu, seorang pengguna Facebook, AgguNesu ReHa AgnesLeha berkata,
mereka tidak mengenakan pakaian tradisi Iban untuk berurusan di pejabat.
"Orang Iban juga tahu mengenai peraturan dan kod pemakaian bersesuaian
untuk pergi ke sesuatu tempat, bukan hanya memakai Sirat (pakaian
tradisi lelaki Iban) sahaja. Ingat orang Iban tidak tahu guna baju ke,"
katanya.
Manakala, bagi seorang lagi pengguna Facebook, Pavl Alan Morison pula
berkata, mudah, pakaian itu adalah pakaian tradisional orang Iban.
"Kita hanya pakai waktu perayaan atau upacara tertentu. Berhenti mengarut," katanya.
Sementara itu, Ahmad Firdaus Abdullah yang turut memberi ulasan dalam
laman Facebook itu turut berkata, Teresa sepatutnya menjadi seorang ahli
politik yang matang.
"Tolonglah jadi wakil rakyat yang betul-betul membantu negara. Bukannya
jadi ahli politik yang cuba memporak-perandakan keharmonian masyarakat,"
katanya.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment