Tuesday, July 07, 2015

Kerajaan Akan Terus Utamakan Kebajikan Rakyat.. - Muhyiddin Yassin

Ketika negara berdepan pelbagai cabaran termasuk ekonomi dunia yang tidak menentu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa kerajaan akan tetap mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Beliau ketika ditemui media akui terdapat isu dan permasalahan yang dihadapi namun kerajaan tidak sama sekali mengabaikan tanggungjawab menjaga dan kebajikan rakyat sepertimana pelaksanaannya sebelum ini.

"Bukan mudah buat pemimpin untuk mentadbir negara yang mempunyai kepelbagaian kaum, agama dan bahasa yang berbeza, namun perkara itu telah terbukti kerajaan yang ada mampu melakukan segalanya untuk rakyat."

"Banyak kejayaan yang sudah kita kecapi dan menjadi dasar kerajaan yang ada untuk membantu semua kaum dan golongan," katanya ketika berucap sebelum Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Zakat di Surau Saadiah di Muar, semalam.

Menurut beliau, Malaysia tidak terkecuali daripada menerima tempias perkembangan ekonomi dunia yang lembab, namun pelbagai usaha dilakukan semata-mata untuk meringankan beban rakyat.

"Walaupun keadaan tidak menentu, rakyat kita tetap bertuah kerana keadaan yang masih aman dan banyak bantuan telah kita berikan demi untuk meringankan beban rakyat. Contohnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pada masa yang sama bantuan seperti itu tidak diberikan kepada rakyat di negara lain," katanya.

Beliau menegaskan, kepentingan rakyat terbesar akan diberikan keutamaan oleh kerajaan berbanding golongan yang berkepentingan.

"Kerajaan akan memastikan tidak ada golongan tertentu yang tercicir," katanya.

Bagaimanapun, katanya, suasana telah berubah apabila terdapat segelintir kakitangan kerajaan sendiri yang merungut kepadanya berkaitan kesusahan hidup mereka ketika ini.

"Saya ada menerima pelbagai aduan. Sebagai orang nombor dua negara (Timbalan Perdana Menteri) ramai bertanyakan hala tuju negara, ekonomi, permuafakatan, saya ambil serius semua keluhan dan kebimbangan ini."

"Ada juga kakitangan kerajaan yang mengadu hidup kini dalam kesempitan berikutan kenaikan harga barang, percayalah saya faham masalah dihadapi penduduk dan keadaan sekarang jauh berubah," katanya.

Oleh itu, katanya, sempena Ramadan yang dibuka pintu rahmat, pengampunan, taufik dan hidayah, rakyat diminta supaya menunaikan solat hajat dan berdoa agar negara terus kekal aman tanpa pergolakan yang boleh membawa musibah.

"Apa yang berlaku, saya lihat adalah sebagai cabaran pemimpin untuk mengatasi perkara itu dan yang lebih penting bagaimana untuk menjadikan kerajaan yang ada terus kuat," katanya.

Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment