Tuesday, July 07, 2015
21 Barangan Kawalan Akan Dipantau KPDNKK.. - Hasan Malek
Mulai hari ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK) melaksanakan pemantauan harga bagi 21 jenis
barangan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan.
Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hasan Malek berkata, para peniaga yang
didapati masih berdegil menaikkan harga barangan dengan
sewenang-wenangnya akan diambil tindakan tegas mengikut peruntukan
undang-undang sedia ada.
"Tiada alasan kepada para peniaga untuk menaikkan harga barangan kerana
keputusan skim kawalan ditetapkan adalah hasil maklum balas perbincangan
antara pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)."
"Malah bekalan kesemua barangan itu dijamin mencukupi sepanjang musim
perayaan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan
persatuan-persatuan perternak," katanya ketika ditemui selepas
melancarkan Expo Mega Raya Putrajaya 2015 di Putrajaya, semalam.
Yang turut hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha KPDNKK,
Datuk Seri Alias Ahmad dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri
Dr. Aseh Che Mat.
Merujuk laporan portal Jumaat lalu, KPDNKK menyenaraikan 21 jenis
barangan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bersempena
Aidilfitri tahun ini yang dikuatkuasakan selama 17 hari mulai hari ini.
Antara 21 jenis barangan itu termasuklah ayam, telur ayam, daging lembu,
daging kerbau, ikan kembung, ikan selayang, cili merah, tomato dan
bawang.
Dalam pada itu, Hasan turut meminta orang ramai untuk membuat aduan
terus kepada Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK sekiranya mendapati para
peniaga menjual 21 jenis barangan kawalan tersebut melebihi harga yang
ditetapkan.
"Kita mahu rakyat memainkan hak mereka sebagai pengguna dengan menjadi
mata dan telinga kerajaan untuk melaporkan kenaikan harga barang kepada
KPDNKK dengan segera," katanya.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment