Sunday, July 12, 2015
PAS Hipokrit Jika Tidak Arah Ahli Letak Jawatan Di Selangor dan Pulau Pinang
12 Julai 2015, Shah Alam : PAS perlu mengarahkan semua wakilnya dalam kerajaan negeri
Pulau Pinang dan Selangor untuk meletakkan jawatan selepas Majlis Syura
Ulamak membuat ketetapan untuk memutuskan hubungan dengan DAP semalam.
Bekas Ketua Penerangannya, Datuk Mahfuz Omar berkata jika PAS gagal berbuat demikian, parti itu akan dilabel sebagai hipokrit.
"Apabila PAS sudah mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan DAP,
maka PAS seharusnya tidak bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan Pulau
Pinang dan Selangor.
"Jika tidak rakyat akan melihat PAS sebagai hipokrit," ujar Mahfuz.
Sebaik sahaja Muktamar PAS kali ke-61 meluluskan usul putus hubungan
dengan DAP, Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP,
Lim Guan Eng menggesa semua wakil PAS meletakkan jawatan dalam kerajaan
negeri yang dipimpinnya.
PAS bagaimanapun enggan mengarahkan ahlinya meletakkan jawatan kerana
Pakatan Rakyat masih wujud walaupun tanpa kerjasama antara PAS dan DAP.
PAS berikrar untuk meneruskan hubungan dengan PKR kerana mahu menjaga amanah yang diberikan rakyat.
Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Yang Di-Pertua PAS Pokok Sena berkata
baginya ahli PAS tetap harus menarik diri daripada dua kerajaan negeri
itu namun ia terpulang kepada kebijaksanaan barisan kepimpinan PAS yang
baru.
"Pemimpin PAS perlu menentukan dengan bijaksana apa yang perlu dilakukan
dengan ahli PAS dalam kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang.
"Saya hanya memberikan pandangan ahli PAS perlu berundur daripada kerajaan. Terpulang kepada mereka," katanya.
Mahfuz bagaimanapun tidak mengulas pelantikan semua wakil samada PAS,
DAP dan PKR dibuat secara 'pelantikan politik'dan tidak perlu meletak
jawatan sepertimana yang ditegaskan beberapa pemimpin PAS sebelum ini.
Malah Mahfuz juga tidak mengulas kerajaan negeri Selangor dan Pulau
Pinang bukan hak mutlak DAP, PKR atau PAS sendiri sebaliknya ia hanya
berjaya dibentuk selepas ketiga-tiga parti itu bergabung dan memenangi
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment