Wednesday, July 08, 2015

Pembocor Rahsia Siasatan Kes 1MDB Akan Dikenakan Tindakan.. - Ketua Polis Negara

Cadangan supaya polis menangkap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berikutan mengkritik sehingga menjejaskan kredibiliti Perdana Menteri dan kerajaan itu ditolak Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Tiada sebab untuk menangkap Dr Mahathir. Cadangan tersebut adalah satu tindakan yang nakal dan saya tidak akan melayan permintaan tersebut," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen Ops Selamat 7/2015 sempena Hari Raya Aidilfitri di KL Sentral di Kuala Lumpur, semalam.
   
Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah pada Isnin lepas menerusi akaun Twitternya, mencadangkan agar pihak polis bertindak segera dan menangkap Dr. Mahathir ekoran kritikan bertali arus terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
   
Menyentuh mengenai siasatan kes dakwaan dana 1MDB yang diselewengkan dan pembelian kontroversi aset Dudley International House di Melbourne, Australia oleh Mara Incorporated Sdn Bhd, Khalid berkata, isu berkenaan tidak boleh didedahkan sehingga siasatan selesai kerana ia boleh mengganggu siasatan dan bertentangan dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
   
"Sesiapa sahaja yang mendedahkan siasatan yang dijalankan oleh pasukan khas boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya.
   
Seterusnya, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak terlampau ghairah dalam mengemukakan sebarang pendapat, menyebarkan maklumat yang diterima dan sewenang-wenang memuat naik ke laman sosial berkaitan dengan dua isu itu yang sedang hangat dibincangkan ketika ini.
   
Jelasnya lagi, berdasarkan Akta SPRM, mana-mana pihak yang mendedahkan siasatan yang dilakukan oleh pasukan khas sama ada berkaitan 1MDB atau pembelian aset oleh Mara Incorporated Sdn Bhd, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment