Friday, July 24, 2015

Pengakuan Tony Pua Bukti Ada Campur Tangan Pembangkang Dalam Isu 1MDB – Ruslan

23 Julai 2015, Kuala Lumpur : Bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Ruslan Kasim tidak menolak kemungkinan terdapat campur tangan pembangkang dalam kemelut 1MDB  apabila pemimpin DAP, Tony Pua sendiri mendedahkan beliau pernah bertemu dengan pemilik The Sarawak Report, Claire Rewcastle-Brown, portal yang bertanggungjawab menyebarkan tuduhan berhubung 1MDB yang mengaitkan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, ada kemungkinan segala maklumat yang tersebar di dalam kalangan rakyat hari ini  telah ditokok tambah atau dimanipulasikan oleh kepimpinan pembangkang berdasarkan kenyataan Tony Pua yang mengaku bertemu dengan Claire baru-baru ini.

“Kalau Tony bertemu Claire mewakili PAC, itu lain cerita. Tetapi pertemuan Tony Pua dan Claire merupakan pertemuan yang mewakili kepimpinan pembangkang yang selama ini jelas mempunyai niat untuk memburukkan serta menjatuhkan kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib.
dap-tony-pua-mengaku-sarawak-report-jumpa-clare-brown-pembangkang
“Jadi apa sebenarnya butir perbincangan tersebut? Tidak mungkin perbincangan antara Tony Pua tidak mempunyai kepentingan politik terhadap pembangkang. Pasti ada sesuatu perbincangan dalam pertemua tersebut. Saya juga mengesyorkan agar siasatan yang teliti diambil oleh pihak berkuasa terhadap pemimpin Dap itu agar kita tahu apa motif sebenar beliau bertemu dengan Claire,”ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau juga berpendapat bahawa kedudukan Tony Pua sebagai anggota PAC juga boleh dipertikaikan memandangkan sikapnya yang terlalu bias dan prejudis di dalam siasatan berhubung isu 1MDB ini.

“Saya lihat Tony Pua hari ini bagaikan pepatah lebih lajak dari laju.  Jelas ada sikap dan pemikiran yang bias beliau berhubung isu siasatan 1MDB ini. Beliau tidak seperti Dr Tan Seng Giaw, yang juga seorang ahli Dap namun tidak membuat sebarang kenyataan atau tidak terlibat dengan mana-mana pihak seperti Sarawak Report mahupun 1MDB yang seperti apa yang Tony Pua lakukan.

“Sekirany di dalam mahkmah, Tony Pua telah lama dikecualikan kerana sikapnya yang prejudis terhadap isu 1MDB yang mana kita boleh mempertikaikan ketelusannya di dalam membuat sebarang keputusan. Elemen tanpa prejudis ini amat penting dalam menegakkan keadilan dan Tony Pua tidak ada elemen itu,” tegasnya.

Beliau seterusnya menasihati rakyat agar tidak menelan bulat-bulat segala maklumat yang tersebar melalui media sosial berhubung isu 1MDB ini.

“Hari ini kita boleh lihat sikit demi sikit ada perkara-perkara baru yang terbongkar hasil siasatan pihak berkuasa Thailand dengan kerjasama PDRM. Jangan kita terlalu percaya dengan apa yang disebarkan atau yang diperkatakan oleh pemimpin pembangkang kerana mereka sememangnya bersikap suka menangguk di air yang keruh.

“Secara prinsipnya, kita mestilah berpegang kepada yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah. Datuk Seri Najib juga beri jaminan bahawa jika terbukti ada penyelewengan, maka mereka yang bersalah akan tetap dibawa ke muka pengadilan tanpa prejudis.

“Jadi apa yang rakyat harus lakukan hari ini adalah tunggu dan lihat apa hasil siasatan itu. Saya yakin, bahawa anggota audit negara, PAC, pihak berkuasa seperti polis menjalankan tugas mereka dengan telus bagi menyelesaikan dakwaan dan tuduhan penyelewengan yang berlaku di dalam 1MDB. Kebenaran akan ditegakkan dan sesiapa juga yang didapati terbukti bersalah melakukan penyelewengan seperti yang didakwa tidak akan dapat lari dari undang-undang yang termaktub di negara ini,” akhiri beliau.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment