Friday, July 24, 2015
Pulak Dohhhh....Agus Dakwa Bai'ah PAS Mengarut
SHAH ALAM : Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Agus Yusoff
menyifatkan bai'ah yang kononnya diikat antara pemimpin-pemimpin PAS
dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu sebagai karut.
Memetik posting di laman Facebooknya, beliau mempersoalkan kewajaran
untuk PAS melakukan perkara sedemikian hanya kerana mahu memastikan
pemimpin-pemimpinnya tidak 'lari' ke perjuangan parti lain.
Agus menggunakan frasa 'isteri' untuk merujuk kepada jawatan ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri (ADUN).
"...Komen saya sederhana sahaja: saya terkejut isteri pun boleh dicagar
sebagai syarat untuk setia pada parti bagi menjadi calon dalam pilihan
raya. Bertanya saya dalam hati, apakah Islam membenarkan perbuatan
sebegini?
"Merenung seterusnya, jika betullah ada baiah cerai talak tiga jika
keluar dari parti PAS, ini adalah sekarut-karut tindakan!," demikian
menurut Agus.
Agus juga menimbulkan dua hujah berkaitan keperluan untuk mengadakan bai'ah di kalangan pemimpin parti Islam itu.
"Bagi pendokong PAS, mereka kata wajar atas hujah berikut; supaya
pemimpin yang dipilih atas tiket parti PAS tidak mengkhianati
perjuangan, apatah lagi perjuangan Islam PAS dan sebelum baiah ini
dibuat, pemimpin ini tidak bantah pun baiah tersebut.
"Bagi bukan pendokong PAS, mereka menyatakan tidak wajar atas hujah
berikut; cerai perlu dibuat secara sukarela, bukan paksa, cerai adalah
perbuatan yang paling Allah tegah dan tidak boleh dibuat main-main dan
baiah setia itu hanya pada Allah, bukan pada parti dan pemimpin,"
katanya.
Posting berkenaan menerima respon daripada pengikut Agus di Facebook.
Rata-rata mereka turut menyatakan pendapat yang sama, bahawa bai'ah PAS
ini tidak relevan kerana bertentangan dengan sunnah Nabi.
"Baiah ini telah menyelamatkan PAS dari insiden lompat parti yang pernah
berlaku kepada rakan lamanya DAP dan PKR. Pada masa sama, baiah ini
membuatkan pemimpin PAS lebih rela dipecat dari meninggalkan parti.
Buktinya, G18 yang masih belum meninggalkan Pas kerana baiah tersebut,"
demikian tulis Firdaus.
Sebelum ini Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata
mana-mana pemimpin PAS yang menganggotai parti lain dianggap melanggari
bai'ah yang dibuat sebelum diangkat untuk mewakili parti itu dalam
PRU-13 yang lalu.
Merujuk kepada kumpulan progresif PAS yang menubuhkan Gerakan Harapan
Baru (GHB), Tuan Ibrahim berkata golongan itu seharusnya patuh dan akur
dengan bai'ah yang telah dibuat.
Sementara itu merujuk kepada penubuhan GHB, Agus berpendapat kehilangan
kumpulan progresif dalam PAS memberi kesan yang kurang baik kepada
perjuangan parti Islam itu.
"Satu yang saya perhatikan ialah tanpa kumpulan progresif ini, tiada
lagi pemimpin PAS yang kelihatan merakyat dan memahami isu-isu semasa
negara. Tiada lagi kenyataan menarik dari pemimpin PAS untuk mengulas
isu Felda, GST, 1MDB dan lainnya," katanya.
Meskipun GHB bakal berdepan dengan beberapa cabaran semasa, beliau dalam
pada itu merasakan GHB mempunyai masa depan yang cerah dalam landskap
politik negara seiring dengan kebangkitan dan kesedaran rakyat.
"Tetapi dilihat kepada semangat golongan kelas pertengahan dan anak muda
yang mahukan perubahan politik serta masalah yang dihadapi oleh
kepemimpinan UMNO sekarang, ada banyak ruang yang boleh digunakan oleh
kumpulan progresif untuk menarik sokongan rakyat.
"Gunalah ruang itu sebaiknya," ujarnya lagi.
Salah satu cabaran yang dimaksudkan Agus adalah ketokohan pemimpin-pemimpin GHB yang sering dipalit kontroversi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment