Tuesday, July 07, 2015
"Saya Akan Cari Jalan Tegakkan Kebenaran..." Ikrar PM
Di depan hampir 20,000 penduduk sekitar Besut Terengganu, Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak berikrar beliau akan berusaha menegakkan
kebenaran yang bakal dibuktikan kelak ketika serangan terhadap
kepemimpinannya yang dikaitkan dengan isu 1Malaysia Development Berhad
(1MDB) terus memuncak dari dalam dan luar negara.
Najib meminta rakyat supaya tidak bimbang dengan pelbagai dakwaan tidak
berasas yang dilemparkan itu dan mengulangi pendiriannya tidak akan
mengkhianati kepercayaan rakyat terhadapnya.
“Saya tidak akan khianati rakyat. Saya akan cari (jalan) untuk tegakkan kebenaran, bertenang, kebenaran akan terbukti,“ katanya.
Beliau turut menyatakan rasa terharu dan berterima kasih dengan sokongan
pelbagai pihak, termasuk daripada Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron
Din.
Haron menyatakan adalah tidak masuk akal Perdana Menteri akan
menyalahgunakan wang rakyat ratusan juta ringgit dengan memasukkan dalam
akaun peribadinya sebagaimana yang didakwa Wall Street Journal (WSJ).
Utusan melaporkan Najib berkata, sememangnya tidak masuk akal beliau
tergamak berbuat demikian sehingga sanggup mengkhianati rakyat.
“Saya ucap terima kasih kepada sokongan banyak pihak dalam kalangan
pemimpin UMNO dan saya juga ucap terima kasih kepada seorang pemimpin
PAS yang membuat kenyataan baik terhadap saya.
“Datuk Haron Din kata adalah tak masuk akal PM (Perdana Menteri)
‘songlap’ duit. Memang tak masuk akal dan sebagai seorang PM, saya
takkan khianati rakyat dari dulu sampai sekarang,“ katanya.
Beliau menyatakan perkara itu pada Majlis Perasmian Sekolah Menengah
Imtiaz Yayasan Terengganu Besut dan Pelancaran Program Al-Shahadah
Al-Ulya Ulul Albab sempena Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri di
Besut petang Isnin.
Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul
Rahman; isterinya, Toh Puan Seri Halina Zakaria; Menteri Pendidikan II
yang juga Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh serta isteri, Toh
Puan Seri Che Kamariah Zakaria dan Ketua UMNO bahagian Besut, Nawi
Mohamad.
Dianggarkan hampir 20,000 orang dari segenap lapisan masyarakat menghadiri majlis berkenaan.
Perdana Menteri seterusnya menyeru semua pihak supaya jangan mencantas
sesama sendiri kerana gejala itu akhirnya akan membawa perpecahan dalam
masyarakat.
Menurutnya, kerjasama dengan bersatu padu akan menghasilkan kejayaan meskipun berbeza fahaman politik.
“Kalau nak berjaya, kita mesti bersama walaupun berbeza politik, jangan sampai kita berpatah arang,“ jelas Perdana Menteri.
Dalam ucapannya, beliau turut mengagumi kejayaan dan pencapaian sekolah
Imtiaz khususnya di Besut sehingga bukan sahaja menjadi kebanggaan
rakyat Terengganu, malah seluruh rakyat Malaysia.
Justeru itu, Najib yakin prestij sekolah Imtiaz yang penubuhannya
menekankan konsep Ulul Albab hasil cetusan idea Menteri Pendidikan II
mampu mengangkat ketamadunan Islam, sekali gus mengelak umat Islam
berpecah belah.
Dalam majlis itu juga Perdana Menteri turut memenuhi permohonan Ahmad
Razif dengan meluluskan peruntukan berjumlah RM3 juta bagi membina
sebuah dewan serba lengkap bagi kegunaan Sekolah Menengah Imtiaz YT
Besut.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment