Friday, July 24, 2015
Sekadar Petik Desakan Dari Facebook, Twitter Suruh Najib Letak Jawatan?
EDITOR MENULIS...
24 JULAI 2015
Semalam, bekas Memanda Menteri Perdana dikatakan ada tumpang sekaki
hadir ke majlis rumah terbuka anjuran Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri
Mukhriz Mahathir. Biasalah. Rumah terbuka anjuran anaknya, dia buat
macam rumah sendirilah, kan?
Saya tidak kisah dia hadir. Tapi kenyataan dia semalam tentang
Presiden UMNO, Dato’ Seri Najib Tun Razak betul-betul buat saya rasa
tak percaya. Seolah bukan keluar dari mulut seorang negarawan yang
terkenal dengan kehebatan yang digembar-gemburkan sebelum ini.
Bekas Memanda Perdana kata, beliau tidak takut dipanggil PDRM sebab
kritik Perdana Menteri. Okey, yang itu saya setuju. “Freedom of
speech”, berani buat maka beranilah tanggung, kan?
Tapi bila beliau kata nak jatuhkan juga Najib sebab ramai orang suruh
Najib letak jawatan dalam Facebook, Twitter dan sebagainya, saya
nampak macam orang tak cukup akal punya kenyataan.
Tahukah ‘blogger tersohor’ itu bahawa walaupun ada yang mahu Najib
letak jawatan, boleh dikatakan lebih ramai lagi warga maya dan majoriti
rakyat mahu Najib kekal sebagai Perdana Menteri di Malaysia? PRU ke-13
yang lalu sudah terbukti, bukan?
Desakan untuk meletak jawatan bukan pernah dilalui oleh Najib saja.
Bekas Memanda Perdana pun pernah lalui perkara yang sama, malah lebih
teruk lagi dari apa yang diharungi Najib. Hampir terduduk beliau bertemu
buku dengan ruas ketika itu.
Masih ingat nama Ku Li? Ya, bekas Memanda Perdana menang dalam
perebutan kuasa itu.
Perlu beliau ingat, Najib sokong beliau, bukan Ku
Li ketika itu. Itu berlaku di dalam UMNO. Desakan menyuruh beliau
meletak jawatan berlaku dari dalam UMNO.
Di luar? Tak payah cakaplah. Berbuih-buih mulut orang suruh beliau
letak jawatan. Bukan setakat orang kampung, orang di bandar pun. Bukan
sekadar orang dalam UMNO sendiri, pembangkang pun selalu suruh beliau
letak jawatan masa itu, kan? Orang lama tahulah kisah itu, kan?
Sepanjang beliau mentadbir selama 22 tahun, ada atau tidak beliau
tunduk pada desakan suruh letak jawatan? Malah beliau pernah berkata,
walau menang dengan satu undi pun, beliau tidak akan meletak jawatan,
bukan? Jadi, apa hal pula beliau mahu Najib dengar cakapnya untuk
meletak jawatan?
Kalau setakat petik sumber laman sosial suruh Najib letak jawatan,
hujah begitu selalunya pembangkang yang pakai. Setakat popular di
internet, tapi kalah di medan undi, apa gunanya? Setakat menang sorak
saja, tapi tewas di atas padang? Masuk dek akal? Bijak sangatlah tu?
Mujurlah di zaman beliau mentadbir dulu, internet baru nak mula
berkembang. Itu pun teruk beliau menepis kiri kanan depan belakang.
Yang menulis dalam blog dan facebook ini jugalah yang “berperang” siang dan malam memastikan beliau
stabil memacu pentadbiran negara. Nak harapkan SSTDM dan KCD? Lahir pun
belum masa tu…
Saya tidak marah kalau beliau betul nekad mahu jatuhkan Najib
sebagaimana yang dilakukan pada Tunku Abdul Rahman dan Pak Lah dulu. Itu
hak beliau. Tapi gunakanlah hujah yang berkreadibiliti. Kalau sekadar
petik dokumen yang di edit dan diubah suai, baik lupakanlah. Buat malu
saja kemudian hari, kan?
Saya doakan supaya beliau dilanjutkan usia sepanjang yang boleh
supaya beliau boleh tengok dengan mata kepala sendiri bagaimana Najib
menjayakan gagasan yang beliau sendiri cipta, Wawasan 2020. Sedang Najib
sibuk jayakan wawasan yang beliau sendiri cipta, beliau sibuk pula
menghentam Najib siang malam…
Sebab itulah saya doakan beliau terus dipanjangkan umur. Biar
nanti beliau boleh saksikan sendiri betapa Najib sayangkan beliau
sebagai seorang negarawan yang pernah berjasa walau beliau tabur ‘pasir’
dalam parti sendiri. Harap beliau diberi hidayah sewajarnya, amin!
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment