Friday, July 24, 2015
Tony Pua Sahkan Bertemu Editor Sarawak Report Banyak Kali
Mengenai pertemuannya dengan bekas eksekutif PetroSaudi International,
Xavier Andre Justo, Pua berkata: "Saya tidak pernah dengar nama Justo
sehingga keluar berita bahawa dia ditahan di Bangkok."
Beliau juga menafikan mengenali bekas editor Sarawak Tribune, Lester
Melanyi yang mendakwa baru-baru ini bahawa Justo telah mengaku bertemu
dengan beberapa pemimpin pembangkang yang mahu membeli maklumat untuk
memburukkan kerajaan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di
London sebanyak dua atau tiga kali pada 2012 dan 2013.
"Tidak. Saya tidak pernah berjumpa Lester sepanjang hidup saya," kata
Anggota Parlimen Petaling Jaya ini mengenai Melanyi yang dalam klip
video selama 6.02 minit yang dikeluarkan baru-baru ini memberitahu
bahawa hampir 90 peratus kandungan artikel Sarawak Report mengenai
syarikat pelaburan kerajaan 1MDB telah diubah suai oleh ahli politik
pembangkang untuk memburukkan kerajaan dan menjatuhkan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam klip itu, Melanyi menamakan pereka web berpangkalan di London yang
dia mendakwa dilibatkan oleh Rewcastle-Brown untuk mengubah dan
mencipta e-mel selain perjanjian palsu bagi menjadiknnya kelihatan asli.
Pua turut melahirkan rasa tidak puas hatinya mengenai langkah Jabatan
Imigresen menghalangnya daripada meninggalkan negara ini di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di Sepang petang tadi.
Beliau berkata beliau sepatutnya terbang ke Jogjakarta, Indonesia
menerusi Airasia pada pukul 3.15 petang sebagai sebahagian projek Penang
Art District.
"Tiada sebab kenapa. Para pegawai Imigresen mencadangkan saya pergi ke
Bahagian Keselamatan Kementerian Dalam Negeri untuk merayu atau memohon
kebenaran untuk meninggalkan negara.
"Saya tidak dihalang sebelum ini. Saya terkejut," katanya.
Pua berkata selepas Indonesia, beliau sepatutnya pergi ke Singapura bagi
menghadiri majlis makan malam 'reunion' bersama bekas rakan sekolahnya
sebelum pulang ke Malaysia.
"Rancangan saya ialah untuk pulang semula dan bukan melarikan diri," tambahnya.
Sehingga berita ini dutulis, Bernama belum mendapat maklum balas
daripada Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen mengenai sebab
Pua dihalang daripada meninggalkan negara.
Namun Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu pemberita
di Shah Alam hari ini, bahawa beliau tidak menolak kemungkinan beberapa
individu mungkin ditahan berikutan dakwaan yang dibuat Melanyi bahawa
beberapa pemimpin pembangkang telah bekerjasama dengan Sarawak Report
untuk memburukkan kerajaan dan menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment