Wednesday, July 08, 2015
WSJ Bakal Berdepan Saman – Peguam
8 Julai 2015, Kuala Lumpur : Dow Jones, penerbit The Wall Street Journal
yang menerbitkan artikel mendakwa Perdana Menteri menyelewengkan hampir
US$700 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bakal berdepan
tuntutan saman sekiranya tidak menjawab surat pengesahan dalam masa 14
hari.
Peguam Wan Azmir Wan Majid dari Tetuan Hafarizam Wan and Aisha
Mubarak yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika
dihubungi berkata bagaimanapun ia (tuntutan saman) tertakluk kepada
arahan anak guamnya.
“Buat masa ini perkara yang paling mustahak ialah pengesahan WSJ
berkenaan cadangan penyelewengan wang daripada 1MDB seperti terkandung
dalam dua artikel mereka, adakah mereka merumuskan ia telah dilakukan
oleh anak guam kami,” katanya.
Pada Rabu Tetuan Hafarizam Wan and Aisha Mubarak yang bertindak
bagi pihak Najib telah menghantar surat kepada Dow Jones meminta
pengesahan tentang pendiriannya berkaitan dakwaan dalam artikel-artikel
itu yang disiarkan pada 2 dan 6 Julai dan menuntutnya membalas surat itu
dalam masa 14 hari dari hari ini.
Menjelaskan mengenai proses perundangan bagi saman fitnah, Wan Azmir
berkata sekiranya WSJ tidak menjawab surat itu dalam masa 14 hari,
pihaknya akan menghantar notis tuntutan dan sekiranya akhbar itu gagal
menjawabnya dalam masa 14 hari juga, barulah pihaknya akan menfailkan
saman.
“Bagaimanapun ia tertakluk kepada arahan anak guam kami, tetapi
inilah proses yang diamalkan dan bakal berlaku dalam saman fitnah ,”
katanya.
Ditanya di manakah saman itu akan difailkan, sekiranya Najib akan
menfailkan saman itu, Wan Azmir berkata ia boleh difailkan di Malaysia
atau di Amerika Syarikat, tetapi ia boleh dipilih mengikut kesesuaian.
Beliau berkata saman malu atau fitnah mempunyai tiga intipati penting
iaitu ayat itu mesti menfitnah, ayat itu mesti merujuk kepada plaintif
dan pernyataan itu mestilah disampaikan kepada pihak ketiga.
“Penyampaian ke pihak ketiga boleh dibuat secara lisan atau bertulis
dan oleh kerana terdapat edaran kandungan artikel WSJ di Malaysia
melalui portal laman sesawang mereka atau melalui akhbar yang diedar,
ini bermaksud pihak ketiga yang telah menerima kenyataan fitnah itu
berada di Malaysia, oleh itu tindakan boleh diambil di dalam Malaysia,”
katanya.
Berhubung pelantikan peguamcara oleh WSJ dan pemberita-pemberita yang
menulis artikel-artikel itu, Wan Azmir berkata sekiranya WSJ telah
melantik peguamcara mereka sama ada di New York atau di Malaysia, ia
akan memudahkan peguam yang mewakili Najib untuk berhubung dengan peguam
WSJ.
“Oleh itu kami boleh terus berhubung dengan peguam mereka tanpa merujuk kepada WSJ dan pemberita-pemberitanya,” katanya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment