Rabu, 8 Julai 2015.
Wednesday, July 08, 2015
Kerajaan Dap Pulau Pinang Digesa Henti Main Politik Dalam Isu Perumahan Untuk Rakyat
8 Julai 2015, Pulau Pinang : Kenyataan balas kepada kenyataan YB Jagdeep
Singh Deo, EXCO Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa Negeri Pulau
Pinang pada Khamis, 2 Julai 2015.
Dalam pertemuan saya, Perda dan JKP Sdn Bhd dengan YB Jagdeep Singh
Deo, EXCO Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa Pulau Pinang pada
Rabu 17 Disember 2014, isu-isu yang menjadi halangan bagi pihak Kerajaan
Negeri meluluskan 15 Pelan Kebenaran Merancang yang dipohon telah
dibincangkan satu persatu dan dikenalpasti.
PERDA dan JKP Sdn Bhd juga bersetuju untuk meminda komponen beberapa
projek supaya selaras dengan kehendak Kerajaan Negeri. Exco Perumahan
juga bersetuju PERDA dan JKP Sdn Bhd memberikan justifikasi komponen
perumahan dan harga yang dicadangkan untuk beberapa projek.
Kerajaan Negeri nampaknya sengaja mencari alasan untuk tidak
meluluskan permohonan Pelan Kebenaran Merancang yang dipohon oleh PERDA
dan JKP Sdn Bhd. Permohonan kedua-dua agensi yang dikemukakan lebih awal
daripada tarikh Kerajaan Negeri memperkenalkan polisi Perumahan Mampu
Miliknya yang sepatutnya tidak tertakluk kepada polisi berkenaan juga
tidak diluluskan.
Dalam perjumpaan dengan Exco Perumahan pada penghujung tahun lalu,
beberapa permohonan yang dikemukakan oleh PERDA dan JKP Sdn Bhd
dipersetujui menepati syarat-syarat yang dikenakan Kerajaan Negeri dan
sepatutnya diberikan kelulusan juga masih belum mendapat kelulusan pihak
berkuasa negeri. Salah satu projek JKPSB dikenakan syarat membayar RM
500,000 kepada MBPP sebagai gantirugi kos pembaikan akibat pemancar
telekomunikasi runtuh di Menara UMNO sebelum permohonan PKM diluluskan.
Pembayaran telah dibuat pada Januari 2015 namun hingga kini tiada
kelululusan diberikan bagi projek berkenaan.
Pihak saya tidak dapat mengelak untuk berpandangan bahawa Exco
Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa Pulau Pinang adalah seorang
Exco tanpa kuasa seperti “anak harimau tiada gigi”. Ini adalah kerana YB
Exco sendiri memberi jaminan semasa perjumpaan tersebut kelulusan Pelan
Kebenaran Merancang akan diberikan secepat mungkin kepada
permohonan-permohonan berkenaan.
Saya ingin mengingatkan YB Exco Perumahan bahawa piagam Pihak
Berkuasa Tempatan (PBT) bagi permohonan Pelan Kebenaran Merancang;
keputusan Kebenaran Merancang perlu diberi dalam tempoh lapan (8) minggu
daripada tarikh penerimaan pelan yang ditunaikan syarat.
Walaupun
kesemua syarat-syarat yang dikemukakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan
tersebut telah dipatuhi, pihak JKPSB contohnya, masih tidak menerima
sebarang maklum balas secara bertulis daripada pihak PBT mengenai status
kelulusan permohonan-permohonan tersebut.
Permohonan PERDA dan JKP Sdn Bhd seawal tahun 2011 juga masih belum
mendapat maklum balas dari pihak berkuasa negeri. Pihak saya juga tidak
dapat mengelak dari merumuskan Kerajaan Negeri dengan sengaja mencari
alasan untuk menggagalkan usaha dan rancangan agensi Kerajaan Pusat
untuk menyediakan perumahan bagi rakyat Pulau Pinang.
Kerajaan Negeri mencari dan mencipta alasan untuk menolak
permohonan-permohonan yang dikemukakan JKPSB dan PERDA setelah mesyuarat
SPC tanpa sebarang justifikasi berkali-kali menangguh kelulusan
permohonan-permohonan berkenaan. Kerajaan Negeri tidak sepatutnya
bermain politik dalam penyediaan perumahan untuk rakyat.
Exco Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa mengajak pihak saya
untuk berbincang berdasarkan fakta tetapi beliau sendiri menggunakan
fakta yang salah.
Fakta:
1. Sebanyak 2,447 unit (25.9% dari 9,444 unit) adalah rumah Kos
Rendah (jenis teres dan pangsapuri) dan ditawarkan pada harga RM35,000
dan RM 42,000 seunit;
2. Peratusan komponen rumah di bawah siling harga mampu milik
kerajaan negeri adalah pada 64.21% dari keseluruhan jumlah yang
dicadangkan.
***Bukan sepertimana yang didakwa oleh YB Exco majoriti komponen
perumahan yang dipohon melebihi paras harga mampu milik kerajaan negeri.
3. Kelulusan permohonan projek JKP Sdn Bhd di Kampung Awak yang
dirujuk YB Exco dalam kenyataannya sebelum ini diperolehi pada tahun
2009. Ini berlaku sebelum kerajaan Pulau Pinang memperkenalkan polisi
perumahan yang baru.
Saya ingin ulangi bahawa pihak PERDA dan JKP Sdn Bhd sentiasa
bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa
Tempatan bagi menyediakan perumahan yang selesa dan mampu dimiliki oleh
rakyat Pulau Pinang. Ini terbukti bilamana pihak saya bersama JKPSB dan
PERDA telah bersetuju untuk berjumpa dan mengadakan perbincangan dengan
YB Exco Perumahan sebagaimana yang diminta oleh YAB Ketua Menteri.
Sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang
saya telah memohon untuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri
sendiri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Negeri (SPC) untuk
menyelesaikan semua masalah berkaitan dengan permohonan Pelan Kebenaran
Merancang oleh PERDA dan JKP Sdn Bhd. Ketua Menteri meminta saya
berurusan dengan YB Exco Perumahan terlebih dahulu dan beliau berjanji
akan berjumpa saya sekiranya isu-isu tidak dapat diselesaikan di
peringkat Exco Perumahan.
Ketua Menteri tentunya lebih tahu YB Exco tiada kuasa untuk membuat
keputusan meluluskan pelan Pelan Kebenaran Merancang kerana hanya SPC
yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri sahaja berkuasa melakukannya.
Sembilan (9) bulan sudah berlalu sejak saya menulis surat memohon untuk
mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan Ketua Menteri. Sehingga
kini belum ada jawapan dari pihak Ketua Menteri walaupun saya sudah
berjumpa dengan YB Exco dan isu permohonan PKM oleh PERDA dan JKPSB
tidak juga selesai. Ini jelas menunjukkan Ketua Menteri tiada niat atau
hasrat untuk meluluskan permohonan perumahan untuk rakyat.
Kerajaan Negeri lebih gemar bermain politik dalam isu-isu rakyat
termasuk dalam isu perumahan. Ini bukan sikap yang sepatutnya bagi
sebuah kerajaan yang mengaku mereka mengutamakan kepentingan rakyat.
Datuk Seri Zainal Abidin Osman, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang.
Rabu, 8 Julai 2015.
Rabu, 8 Julai 2015.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment