Tuesday, November 03, 2015
BN Selangor Persoal Kertas Putih DEIG Tidak Dibentang Dalam Sidang DUN
SHAH ALAM : Barisan Nasional (BN) Selangor mempersoal tindakan
Menteri Besar Mohamed Azmin Ali yang tidak membentangkan kertas
putih mengenai keperluan mewujudkan Darul Ehsan Investment Group (DEIG),
pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Setiausahanya Budiman Mohd Zohdi berkata kertas putih itu
sepatutnya dibentangkan pada persidangan kali ini seperti yang disyorkan
Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat
(JP-ABAS).
Beliau berkata, keengganan Mohamed Azmin itu dilihat mempunyai
agenda tersendiri memandangkan syor berkenaan dinyatakan oleh
jawatankuasa itu dalam penyata Bil 48/2015 sebelum ini berikutan DEIG
bakal beroperasi sepenuhnya tahun depan.
“Bagaimanapun, sidang DUN kali ini termasuk semasa pembentangan Bajet
2016 kerajaan negeri lepas, Menteri Besar langsung tidak menyentuh
mengenai pembentangan kertas putih itu sedangkan ia merupakan satu
daripada syor JP-ABAS.
“Adakah Menteri Besar tidak menghormati syor itu atau beliau
membuat keputusan menubuhkan DEIG sebelum ini secara bersendirian
bukannya secara kolektif,” katanya kepada pemberita di lobi DUN Selangor
di sini hari ini.
Budiman menjelaskan jawatankuasa berkenaan juga mengesyorkan kepada
kerajaan negeri bahawa segala operasi dan aktiviti DEIG terutamanya
dengan pihak swasta harus ditangguh selagi kertas putih itu tidak
dikemukakan, namun penstrukturan anak-anak syarikat boleh diteruskan
oleh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).
Isu penubuhan DEIG sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila anak
syarikat MBI itu didakwa akan menguruskan kira-kira RM30 bilion nilai
aset kerajaan negeri yang kini di bawah seliaan pemerbadanan tersebut.
Ketika persidangan DUN Ogos lepas, beberapa ADUN Selangor termasuk
DAP mendesak kerajaan negeri mengkaji semula penubuhan DEIG memandangkan
syarikat tersebut ditubuhkan melalui Akta Syarikat.
Ini kerana segala aktiviti, operasi dan pengurusan kewangan serta
pelaburan syarikat itu tidak perlu dilaporkan kepada persidangan dewan
berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Budiman, yang juga ADUN Sungai Panjang
turut mempertikai ketelusan kerajaan negeri menerusi Bajet Selangor 2016
yang menganggarkan hasil bukan cukai bakal diterima pada tahun tersebut
berjumlah RM1.4 bilion atau 62 peratus daripada sumber pendapatan
negeri.
Beliau berkata, anggaran berkenaan yang tidak disusuli dengan
fakta terperinci dilihat menimbulkan keraguan kerana ia mungkin boleh
diperoleh daripada hasil penjualan aset milik kerajaan negeri.
“Hampir sebilangan besar hasil kerajaan negeri diperolehi menerusi
kutipan cukai. Namun, apakah sumbernya jumlah hasil bukan cukai yang
kerajaan negeri terima ini?
“Kita ingin tahu adakah ia melibatkan penjualan aset? Maka perkara
ini merupakan perkara penting yang perlu diperjelaskan oleh menteri
besar,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment