Tuesday, November 03, 2015
Kandungan TPPA Dibentang Kepada Rakyat Dua Minggu Lagi – Ong Ka Chuan
MELAKA : Isi kandungan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik
(TPPA) akan dibentangkan kepada rakyat dalam tempoh dua minggu lagi, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan.
Beliau berkata kerajaan telah menyelesaikan proses rundingan TPPA itu
dengan pihak terlibat dan langkah seterusnya ialah membentangkan
butiran perjanjian tersebut kepada rakyat.
Selepas itu, kerajaan akan membawanya ke Parlimen pada satu
persidangan khas pada Januari tahun depan bagi membolehkan perjanjian
berkenaan dibahas dan kemudian diundi kelulusannya oleh 222 anggota
parlimen.
“Anggota parlimen pada masa itu akan membuat keputusan sama ada kita
akan menyertai TPPA atau tidak, apabila 112 atau lebih anggota parlimen
setuju barulah TPPA itu akan diluluskan.
“Sebelum ini, keputusan dibuat di peringkat kabinet, tetapi TPPA
adalah keputusan penting. Maka segala proses ini adalah cara kita
kembalikan keputusan ke tangan rakyat,” katanya pada sidang akhbar di
sini hari ini.
Terdahulu, beliau melawat Pejabat Cawangan Kementerian Perdagangan
Antarabangsa dan Industri Negeri Melaka, yang turut dihadiri Exco Pengangkutan, Pemulihan Projek dan Perdagangan Antarabangsa Melaka, Datuk Lim Ban Hong.
Rundingan TPPA yang pertama kali diadakan pada 2005 melibatkan 12
negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New
Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat, Vietnam dan Malaysia.
Ong berkata TPPA tidak akan memberi kesan langsung kepada kenaikan
harga barang di negara ini kerana kemasukan barangan dari luar negara
melalui perdagangan bebas TPPA itu akan memberikan lebih banyak pilihan
barangan kepada rakyat.
“Saya lihat pilihan lebih banyak ini akan memberikan kelebihan
kepada pengguna kerana tentunya pengguna akan dapat pilihan beli
barangan yang lebih murah dan akan wujud persaingan antara pengeluar
menghasilkan barangan murah dan berkualiti untuk pengguna,” katanya.
Ditanya tentang kesan TPPA kepada pengeluar tempatan, beliau
berpendapat pengeluar tempatan akan memperoleh persaingan sihat dengan
pengeluar luar negara dalam pasaran tempatan, juga memudahkan mereka
memasarkan produk ke pasaran luar negara.
“TPPA juga akan menarik pelaburan langsung asing yang lebih banyak,
jika kita tidak menyertai TPPA sekarang, mungkin peluang kita akan
terjejas dan kehilangan daya saing berbanding jiran kita seperti
Singapura,” katanya.
Sementara itu, Ong memuji Melaka yang berjaya menarik pelaburan
berjumlah RM6.2 bilion untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini.
“Saya percaya jumlah itu akan meningkat terutamanya dengan kerjasama
erat Melaka dan wilayah Guangdong di China yang menandatangani
perjanjian kerjasama baru-baru ini,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment