Tuesday, November 03, 2015
Kerajaan Bayar RM1.5 Bilion Setahun Untuk Kadar Faedah PTPTN
PUTRAJAYA : Kerajaan membayar RM1.5 bilion jumlah
faedah setiap tahun kerana keengganan sebahagian besar peminjam
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membayar balik
pinjaman pengajian mereka.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Ir Dr Zaini
Ujang berkata ia amat mendukacitakan kerana sikap mereka itu
menyebabkan kerajaan perlu mengeluarkan peruntukan baharu setiap tahun
bagi menyediakan pinjaman kepada bakal mahasiswa yang lain.
“Kerajaan menanggung kadar faedah pinjaman PTPTN sebanyak empat
peratus dan RM1.5 bilion yang digunakan hanya untuk membayar bunga
pinjaman dan bukannya jumlah asas pinjaman mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Tenaga
Kerja Kepada Industri dan Pemeteraian Nota Kerjasama antara Politeknik
Banting Selangor dan Antah Schindler Sdn Bhd di sini hari ini.
Zaini berkata bagi tahun hadapan, RM10 bilion lagi peruntukan
disediakan kerajaan di bawah Bajet 2016 bagi memberi pinjaman kepada
bakal mahasiswa yang akan melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian
tinggi.
“Oleh itu, saya menasihatkan supaya mereka yang telah meminjam
daripada PTPTN untuk segera membayar balik hutang mereka terutamanya
bagi mereka yang telah mendapat pekerjaan bagi membolehkan bakal
mahasiswa yang akan datang mendapat kemudahan pinjaman ini,” katanya.
Dalam pada itu, Zaini berkata kerajaan bercadang untuk menjadikan
Jabatan Pendidikan Politeknik sebagai sebuah badan berkanun pada tahun
hadapan.
“Ini merupakan pembaharuan yang baik kerana ia akan menjadikan
politeknik sebagai institusi yang mempunyai lebih fleksibiliti termasuk
dalam hal mengurus kewangan, penjawatan dan kenaikan pangkat,” katanya.
Pada majlis hari ini, seramai 15 pelajar Politeknik Banting, Selangor
yang baru menamatkan semester akhir mereka diterima bekerja dengan
Antah Schindler sebagai juruteknik.
Melalui kerjasama yang termeterai juga, sekurang-kurangnya 20
pelajar Politeknik Banting akan diterima bekerja di syarikat tersebut
pada setiap tahun.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment