Tuesday, November 03, 2015
Tony Pua Perlu Letak Jawatan Jika Mahu Teruskan Debat Terbuka 1MDB
KUALA LUMPUR : Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin
Mulia hari ini memutuskan bahawa debat berhubung 1Malaysia Development
Berhad (1MDB) hanya boleh diteruskan jika Tony Pua meletak jawatan
sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Sebagai tambahan, beliau berkata Presiden dan Pengarah Eksekutif
Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy juga tidak boleh menjadi saksi di
dalam siasatan PAC ke atas 1MDB jika beliau mahu berdebat dengan Pua.
“Ini perlu bagi mengekalkan ketelusan siasatan dan prosiding yang
dijalankan PAC selaras dengan peraturan-peraturan Dewan Rakyat.
“Bahas terbuka itu boleh menjejaskan prosiding siasatan PAC terhadap
1MDB serta menimbulkan prejudis orang awam terhadap kredibiliti pihak
yang terlibat dalam siasatan tersebut,” katanya ketika membuat keputusan
berhubung isu debat terbuka itu dalam persidangan Dewan Rakyat, hari
ini.
Pandikar Amin menegaskan sebarang pendedahan, keterangan atau perkara
yang dikemukakan di hadapan sesebuah jawatankuasa adalah tertakluk
kepada syarat yang diperuntukkan di bawah Peraturan Mesyuarat 23.
Katanya Peraturan Mesyuarat 23(1)(e) menyatakan perjalanan sesuatu
prosiding yang belum dimaklumkan kepada Majlis tidak boleh didedahkan,
justeru suatu debat yang melibatkan pertanyaan dan jawapan daripada
kedua-dua pihak berhubung isu berkenaan adalah jelas bertentangan dengan
peraturan itu.
“Memandangkan benda yang ingin didebatkan masih dalam siasatan PAC,
apa-apa keterangan yang dikeluarkan dalam debat tersebut boleh dianggap
sebagai ruang untuk membincangkan sesuatu perkara yang pramatang,
memandangkan penyata jawatankuasa masih belum dikemukakan kepada Majlis.
“Sebarang kenyataan yang akan dikeluarkan dalam debat itu juga
berkecenderungan menimbulkan tuduhan terhadap sifat, diri seseorang yang
jelas tidak dibenarkan di bawah 23(1)(o),” katanya.
Beliau berkata sepatutnya Pua dan Arul Kanda menunggu sehingga
laporan akhir penyiasatan PAC selesai dan dibentang kepada Dewan Rakyat
akhir tahun ini, sebelum bahas tersebut diadakan.
“Dalam soal ini, saya terpaksa menjalankan tugas saya sebagai Speaker
iaitu tidak boleh membenarkan debat antara Petaling Jaya Utara dengan
Encik Arul Kanda Kandasamy kerana sekarang ini, PAC sedang menyiasat.
“Jadi penyiasatan (PAC) itu harus diteruskan mengikut Peraturan
mesyuarat,” katanya yang turut menyoal rasional kenapa bahas itu harus
diadakan sekarang.
“Kalau kerajaan teruskan debat itu, saya tidak akan libatkan diri
dalam hal ini dan saya dengan segala sukacitanya akan mengundur diri
sebagai Speaker jika ia diteruskan juga.
“Pendirian saya adalah jelas,” katanya, sekali gus mengingatkan Pua
bahawa tugasnya dalam PAC ialah sebagai penyiasat dan bukan pendakwa.
“Kalau Petaling Jaya Utara (Pua) dibenarkan untuk membahas, maknanya dia jadi pendakwa, bukan penyiasat,” katanya.
Sabtu lepas, Arul Kanda menyahut cabaran Pua untuk mengadakan bahas
secara langsung mengenai isu 1MDB tanpa syarat, dan perkara itu
menimbulkan pelbagai reaksi daripada berbagai pihak.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment