Tuesday, November 03, 2015
Debat 1MDB Dicadang Jumaat Ini, Kata Salleh Said Keruak
SERDANG : Debat berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
dicadang diadakan di Studio 1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) tanpa
penonton Jumaat ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri
Dr Salleh Said Keruak.
Katanya RTM mencadangkan debat antara Presiden dan Pengarah Kumpulan
Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy dengan anggota Jawatankuasa
Kira-Kira Wang Negara (PAC) Tony Pua berlangsung selama sejam bermula 9
malam dan disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen itu.
RTM selaku penyiar akan menghubungi kedua-dua pihak bagi mendapat
persetujuan mereka berhubung syor berkenaan, katanya dalam sidang media
selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan
Bahasa Melayu di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.
“Debat ini perlu disegerakan kerana ia telah menjadi bualan
masyarakat dan yakin akan dapat dilangsungkan secara profesional,
berfakta dalam suasana yang kondusif,” katanya, sambil menambah ia akan
dikendalikan seorang moderator dari RTM yang akan diputuskan kelak.
Salleh berkata debat tanpa penonton akan membolehkan perbahasan
dijalankan dalam suasana kondusif serta mengelak sentimen politik agar
masyarakat dapat menilai sendiri maklumat yang diutarakan kedua-dua
pihak.
“Walaupun tanpa kehadiran penonton saya memberi jaminan debat itu akan disiarkan secara langsung tanpa diedit,” katanya.
Salleh berkata pihaknya akan menyediakan garis panduan yang perlu
dipersetujui kedua-dua pihak agar tidak membangkitkan maklumat yang
belum boleh dihebahkan kepada pengetahuan umum memandangkan terdapat
maklumat berkaitan 1MDB yang masih dalam siasatan PAC.
Sabtu lepas, Arul Kanda menyatakan kesediaan bersemuka dengan Pua
secara langsung di televisyen berhubung isu syarikat pelaburan negara
itu, tanpa sebarang syarat selepas dicabar Pua agar mereka mengambil
bahagian dalam rancangan bual bicara secara langsung.
Dalam pada itu, Salleh berkata RTM akan menyiarkan sebuah rancangan
baharu iaitu ‘Demokrasi: Mengurus Perbezaan’, satu rancangan yang akan
menyediakan platform bagi membahaskan sesuatu isu secara terbuka.
Rancangan yang akan bersiaran sebulan sekali itu bermatlamat mendidik
rakyat mengenai soal demokrasi selain landasan membincangkan sesuatu
perkara secara matang dan berfakta, katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment