Tuesday, November 03, 2015

Ekonomi, Perniagaan Berdaya Tahan Tinggi Penting Untuk Kekalkan Kestabilan – PM

http://newsdata2.bernama.com/bernama/newspic/ek/FW426835_KL04_031115_PM_WIEF-scr.jpg
KUALA LUMPUR : Membangunkan ekonomi dan perniagaan yang berdaya tahan tinggi sangat penting dalam mengekalkan kestabilan dan mempromosi pertumbuhan yang saksama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tiada siapa antara kita yang mampu melindungi sepenuhnya daripada menempuh ragam dan ketidaktentuan pasaran yang kerap berubah serta penyusutan mata wang.

“Oleh itu, penting untuk kita membangunkan ekonomi dan perniagaan yang berdaya tahan yang tinggi supaya kita dapat memulihara kestabilan dan mempromosi pertumbuhan yang saksama,” katanya dalam ucaptama pada perasmiam Forum Ekonomi Dunia Islam (WIEF) kali ke-11 di sini hari ini.

Najib ialah Penaung Yayasan WIEF, dan forum itu kini kembali berlangsung di negara itu sejak diasaskan pada 2005.

Beliau berkata tema ‘Membangunkan Daya Tahan untuk Pertumbuhan Saksama’ sangat bertepatan berdasarkan cabaran yang diharungi oleh ekonomi dunia. 

Forum tiga hari itu menyaksikan sejumlah 3,069 peserta yang terdiri daripada pemimpin global, menteri, penceramah, perwakilan, peserta pameran serta artis dari 98 negara di lima benua, berhimpun di Kuala Lumpur.

Najib berkata peserta perlu menangani ketidakdilan dalam pengagihan kekayaan, dalam negara dan sesama negara, bagi melindungi kestabilan sosial serta menggalakkan agenda keterangkum, keadilan dan kemakmuran global. 

Najib berkata pada masa ini terdapat berjuta-juta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh dunia Islam.

“Untuk maju, kita perlu menyediakan peluang yang lebih besar untuk memperluas serta mengupayakan mereka untuk bersaing dalam pasaran yang lebih besar. Dalam misi ini, PKS dari seluruh dunia berhadapan cabaran yang sama iaitu kekurangan pembiayaan,” katanya.

Kini jurang pembiayaan Islam untuk PKS berjumlah sehingga US$13 bilion di Timur Tengah dan Afrika Utara, katanya.

Perdana Menteri berkata pembiayaan Islam yang kini semakin mendapat perhatian, berada pada kedudukan yang lebih baik untuk membantu industri PKS.

Sebagai contoh, Najib berkata tahun lepas, jumlah pembiayaan Islam PKS Malaysia meningkat 40.5 peratus tahun ke tahun, kepada lebih US$10 bilion.

“Pembiayaan Islam, dengan skim usaha sama berasaskan ekuiti, menawarkan alternatif berdaya mahu berbanding perbankan konvensional, suatu kerjasama yang juga menjadikan institusi pembiayaan yang menyertainya menjadi penyedia nasihat dan perundingan.

“Menerusi perkongsian risiko dan manfaat, prinsip Islam untuk keadilan dan kesaksamaan, dilaksanakan,” katanya.

Najib turut memuji usaha Gameen Bank Bangladesh yang memberi pinjaman, terutama kepada wanita.

“Dengan membantu wanita dalam PKS, kita mampu meningkatkan kapasiti ekonomi komuniti dan masyarakat secara menyeluruh,” katanya dan menambah bahawa dalam memastikan peluang untuk golongan belia dalam PKS juga sepatutnya menjadi bidang tumpuan.

Najib berkata selaku pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia juga memain peranan sebagai peneraju dalam meningkatkan peranan PKS untuk meneruskan pembangunan dalam kumpulan 10 negara itu.

“Menerusi penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN akhir tahun ini, negara anggota akan berusaha meluaskan sektor PKS serantau menerusi lima strategi. 

“Ini termasuk membolehkan PKS akses kepada pasaran yang lebih luas dan ekstensif, mengurangkan halangan kawal aturan kepada perdagangan, mengukuhkan perhubungan, menambah baik dasar khusus PKS dan meningkatkan hubungan ekonomi strategik ASEAN dengan Asia secara meluas serta tempat lain di dunia,” katanya.

Najib berkata pemilik perniagaan secara berterusan berusaha mendapatkan instrumen pengumpulan dana dan pelaburan alternatif yang menambah nilai kepada portfolio masing-masing selain menyediakan mereka jaminan keselamatan terhadap ketidaktentuan dan naik turun pasaran.

“Dalam keadaan ini, bon Islam atau sukuk sangat bersesuaian dengan keperluan untuk pengurusan risiko yang baik dan kedudukannya dikaitkan dengan aset atau aktiviti ekonomi,” katanya.

Najib berkata progrm WIEF yang meliputi fesyen Islam, pembiayaan sosial Islam, industri halal dan risikan, teknologi sifar buangan, mengupaya wanita, e-dagang dan syarikat permulaan belia, sentiasa dekat dihati dan meningkatkan iltizamnya.

“Inilah sektor masa depan, masa depan yang menjanjikan pertumbuhan dan keterangkuman yang tinggi.

“Suatu yang berasaskan kepada kemampanan dan berpandukan kompas moral, yang berdaya tahan dan lebih saksama, dan yang kita bangunkan untuk masa depan yang lebih adil dan lebih baik untuk anak-anak dan generasi akan datang,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment