Monday, November 02, 2015
Manfaat Sengketa Kecamuk Dap, PKR Dan Pas Untuk Tingkat Keyakinan Rakyat
KUALA LUMPUR : UMNO perlu memanfaatkan sengketa tiga penjuru
antara Dap dengan Pas dan PKR bagi menjelaskan kepada rakyat betapa
parti politik pembangkang tidak pernah konsisten dalam perjuangan
mereka, kata Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.
“Apa yang mereka perjuangkan ialah kedudukan dan kuasa serta
kepentingan kaum tertentu, ini bertentangan dengan aspirasi masyarakat
pelbagai kaum di Malaysia,” tegasnya.
Ketua UMNO Bahagian Cheras itu menjelaskan, perbalahan antara Pas,
PKR dengan Dap pada dasarnya memberi keuntungan politik kepada UMNO
termasuk Barisan Nasional (BN).
“Kita sepatutnya ambil manfaat daripada perbalahan sesama mereka,
pergunakannya sebaik mungkin supaya rakyat sedar kepincangan tersebut,”
katanya dalam entri terbaru di umnobahagiancheras.blogspot.com.
Menurut beliau, UMNO terutama ketiga-tiga sayap parti perlu lebih
pro-aktif menyerang pembangkang menerusi laman-laman sosial sepertimana
mereka (pembangkang) lakukan terhadap UMNO.
“Andainya ini berlaku kepada UMNO, pasti laman-laman sosial akan
menjadi medium utama pembangkang menabur pelbagai cerita fitnah dan
cercaan terhadap UMNO,” tegasnya.
“Kita tidak semestinya turut menyebarkan fitnah sepertimana perangai
pemimpin pembangkang, tetapi kita perlu lebih aggresif
mengeksploitasikan isu tersebut untuk memberi keuntungan politik kepada
parti.
Masyarakat katanya, lebih tertarik kepada berita sensasi yang
diputarbelitkan atau yang dimuat dengan bahan fitnah daripada menerima
laporan atau maklumat sahih atau munasabah.
“Inilah yang menjadi tanggungjawab
kita di setiap peringkat kepimpinan parti, memperbetulkan persespsi
negatif dan mengekalkan keyakinan serta sokongan rakyat terutama orang
Melayu terhadap UMNO,” tegasnya.
Tambahnya Syed Ali lagi, senario politik mutakhir memperlihatkan
bagaimana pakatan parti-parti pembangkang semakin berkecamuk tetapi
sengaja ditutupi agar tidak diketahui umum.
“Pembangkang sebenarnya semakin teruk dan hampir hancur, oleh sebab
itu mereka sengaja memainkan isu yang tidak relevan dengan
memburuk-burukkan UMNO bagi mengabui mata rakyat,” ujarnya.
Justeru kata beliau, bagaimana pakatan pembangkang mampu
mentadbir-uruskan negara ini kerana mereka sendiri tidak pernah
konsisten dan berbalah sesama sendiri atas kepentingan berbeza.
“Sesama mereka bergaduh, Dap selaku ‘abang besar’ mahu Pas dan PKR
ikut telunjuk mereka (Dap), yang terkenal dengan politik perkauman dan
sentiasa mencurigai kedudukan orang Melayu,” tegasnya.
Menurutnya, sengketa Dap dengan PKR terutama semakin meruncing
apabila Dap memberi kata dua kepada PKR supaya memecat EXCO Pas dalam
pentadbiran kerajaan negeri Selangor.
Di peringkat pusat pula katanya, Dap mengecam Pas kerana tidak
menyokong usaha pembangkang untuk menolak Bajet 2016 yang dibentang
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen minggu lalu.
” Dap dengan angkuhnya menuduh Pas terutama presidennya, Datuk Seri
Haji Abdul Hadi Awang semakin ‘rapat’ dengan kepada UMNO, ” tambahnya.
Dalam isu di Selangor kata Syed Ali, PKR perlu membuktikan kepada
rakyat negeri itu bahawa mereka tidak akan menggadaikan prinsip hanya
kerana terpaksa menuruti telunjuk Dap.
“Menteri Besar, Azmin Ali kena buktikan bahawa beliau masih ada harga
diri dan tidak menggadaikan prinsip kerana agenda politik Dap,”
tegasnya.
Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah
Persekutuan turut mengecam Dap yang menolak Bajet 2016 hanya kerana
kepentingan politik, bukannya berlandaskan kepada keutamaan rakyat.
Katanya, apa sahaja dikemukakan oleh kerajaan BN akan ditolak oleh
Dap sekiranya terdapat perkara yang tidak memberi keuntungan kepada
mereka terutama membabitkan usaha meningkatkan tahap kedudukan orang
Melayu dan bumiputera.
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali sekali lagi mengingatkan
pemimpin UMNO supaya tidak sengaja mencari kelemahan sesama sendiri.
“Kadangkala kita terdengar ada pihak tertentu sengaja membongkar
salah orang lain, kita buka kelemahan sesama kita, tetapi kita lupa
kesannya terpalit kepada UMNO,” tegasnya.
Sepatutnya kata beliau, semua pihak perlu berfikiran lebih rasional
untuk berusaha mencari jalan perdamaian kearah pengukuhan saf kepimpinan
parti.
“Ini rumah tangga UMNO, kita yang bina bersama,maka sepatutnya kita
lebih bertanggungjawab mempertahankan teras binaannya agar tidak runtuh,
mana yang bocor, kita berpakat membaikinya supaya kembali kukuh,
bukannya berterusan menyalahkan orang lain,” tegasnya.
Malah ujar beliau, UMNO bukannya berperang sesama sendiri, tetapi
sebenarnya akan berdepan dengan serangan pembangkang pada Pilihan Raya
Umum (PRU) akan datang.
“Jika kita (UMNO) kecundang, padahnya akan menimpa kepada bangsa, negara dan umat Islam secara keseluruhannya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment