Monday, November 02, 2015
Saiz Parti Komponen Bukan Keutamaan Dalam Prinsip Perkongsian Kuasa BN – Najib
KOTA KINABALU : Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri
Najib Tun Razak menegaskan saiz sesebuah parti yang menjadi rakan kongsi
dalam BN bukan keutamaan sebaliknya yang lebih penting ialah kesetiaan
dan komitmen parti-parti komponen terhadap BN.
Perdana Menteri berkata atas prinsip berkenaan yang dipegang BN
selama ini, membolehkan BN terus berkuasa sehingga Malaysia mampu
mengharungi apa juga dugaan sama ada dalam masa susah dan senang.
“Saya sebagai Pengerusi BN bukanlah (melihat sangat) pada saiz
(parti). Bagi saya saiz tidak penting, apa yang penting ialah kesetiaan
dan komitmen anda. Di atas prinsip inilah negara kita mengorak langkah
ke hadapan. Kita telah Berjaya sama ada dalam keadaan yang
memberangsangkan atau dalam keadaan yang mencengkam.
“Tetapi BN terus membuktikan bahawa inilah parti di mana rakyat boleh
bergantung harap, melindungi kepentingan semua kaum, tidak kira
kumpulan etnik ataupun agama. Payung BN bersifat inklusif dan
komprehensif,” katanya.
Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan
Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) di sini hari ini.
Turut hadir Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup dan Ketua Menteri Sabah
yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Musa Aman.
Justeru, Najib meminta kesemua 13 parti yang bergabung dalam BN agar
terus mempertahankan prinsip berkenaan yang menuntut semua komponen
berinteraksi untuk mencari pemuafakatan dan persefahaman serta
bekerjasama bagi mencapai objektif utama BN iaitu menubuhkan kerajaan
yang kuat.
Katanya dalam berhadapan apa-apa isu atau permasalahan, semua
komponen BN perlu menentukan bahawa mereka tidak lari daripada objektif
utama penubuhan gabungan itu kerana tidak ada pertimbangan lebih besar
dan penting selain daripada membentuk kerajaan BN yang kuat.
“Pertimbangan dari segi kepentingan yang terlalu sempit, pertimbangan
yang bersifat parokial, pertimbangan yang bersifat terlalu melihat ke
dalam diri, sehingga menjejaskan kepentingan utama, kita perlu ketepikan
kerana kalau kita tidak ada kuasa politik, tidak ada apa yang bermakna
sama sekali bagi kita.
“Lebih baik kalau kita terpaksa berkorban sedikit asalkan kuasa itu
di dalam tangan parti BN. Jadi kalau kita ada kuasa, maka perjuangan
boleh diteruskan walaupun kita tak mungkin dapat semua yang kita
kehendaki,” katanya.
Najib mengakui bahawa masih ada permintaan daripada parti-parti
komponen BN yang belum dipenuhi namun percaya semua anggota BN
berhadapan situasi yang sama dan ruang untuk mempertimbangkan permintaan
parti-parti komponen berkenaan tetap ada dan boleh dilakukan dalam
semangat kekeluargaan BN.
“Saya sebagai Pengerusi BN berpegang pada prinsip bahawa saya perlu
adil kepada semua parti komponen BN dan berlaku adil kepada semua kaum,
termasuk suku kaum di bandar, di luar bandar, miskin ataupun mempunyai
kemampuan atau sama ada Bumiputera atau bukan Bumiputera atau Bumiputera
bukan Islam walaupun kumpulan minoriti,” tegas Najib.
Sebagai contoh, katanya, kerajaan membuat keputusan menghapuskan
ruang ‘lain-lain’ dalam borang rasmi kerajaan kerana kaum Bumiputera di
Sabah dan Sarawak tidak menyenangi mereka dikategorikan sebagai
‘lain-lain’ dalam boring berkenaan.
Mengenai kebimbangan penganut agama Kristian di Sabah mengenai
penukaran agama ke agama lain, Najib menjelaskan dari segi kerajaan
tidak ada dasar atau polisi yang boleh memaksa sesiapapun untuk menganut
agama Islam dan Islam sendiri tidak memaksa orang lain untuk menganut
agama berkenaan.
“Dan kita dari segi kerajaan, kita pegang prinsip tidak ada paksaan
dalam Islam. Dalam Islam sendiri ada ayat yang mengatakan ‘Tidak ada
paksaan Islam. Bagi kamu agama kamu, bagiku agamaku’. Ini bererti tiada
paksaan dalam Islam. Ya, kalau dia nak memeluk Islam, tetapi tidak ada
paksaan dalam Islam,” tegas Najib.
Najib memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus berpegang kepada
prinsip berkenaan dan sekiranya berlaku unsur paksaan untuk menganut
Islam, itu bukan dasar kerajaan sebaliknya atas perlakuan individu
tertentu dan pihak berkenaan boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment